KUALA LUMPUR: UMNO bakal ‘ditalkinkan’ sedekad mendatang jika masih wujud sikap berpuak-puak dalam parti.
Justeru Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan sekarang adalah masa untuk bersatu dan bersama-sama dalam satu pasukan UMNO.
Beliau mahu semua ahli selamatkan parti UMNO dan memberikan nafas baharu dan memperbaiki dengan jiwa dan raga bukan sekadar kudrat.
“Dengan hati yang sangat ikhlas. Dengan doa yang sangat tulus, kepada Allah. Dengan jiwa yang sangat rendah diri, tawaduk dan insaf.
“Saya memohon, kita mengembalikan semula, kesatuan kita di dalam UMNO ini.
“Kita singkirkanlah segala pemikiran kepuakan, kem dan kelompokan. Kita hanya ada satu pasukan, iaitu pasukan UMNO. Kepada ketua-ketua kabilah dalam UMNO ini, Allah telah memberikan kamu peluang untuk menikmati kuasa, dan nikmat kesenangan melalui UMNO,” katanya dalam ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN