‘Tunggu sejak awal pagi guna bot ronda’ - Utusan Malaysia

‘Tunggu sejak awal pagi guna bot ronda’

PENGUNJUNG menaiki bot ronda mengelilingi Tasik Timah Tasoh yang menyajikan pemandangan cukup memukau di Timah Tasoh, Padang Besar, Perlis.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR : Perkhidmatan bot ronda di Tasik Timah Tasoh di sini antara paling ‘sibuk’ membawa pengunjung menikmati keindahan tasik berkenaan khususnya pada cuti persekolahan dan hujung minggu.

Panorama indah sekitar Tasik Timah Tasoh yang memberi ketenangan menjadi antara tarikan pelancong untuk mengunjungi kawasan berkenaan apabila datang ke Perlis.

Malah, lokasi berlatar belakangkan Banjaran Nakawan yang cukup memukau itu juga menjadi tumpuan pengunjung merakamkan gambar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia,
Pengerusi Persatuan Rekreasi Empangan Timah Tasoh, Rosmadi Ismail berkata, perkhidmatan bot ronda yang disediakan itu menjadi antara tumpuan pelancong memandangkan mereka berpeluang menikmati secara lebih dekat keindahan alam semula jadi di sini.

“Sepanjang cuti persekolahan ini sahaja, dianggarkan lebih 100 pengunjung akan menggunakan perkhidmatan bot ronda yang disediakan di Dataran Timah Tasoh ini.

“Malah, ada di antara pelancong sanggup menunggu sejak awal pagi bagi menggunakan perkhidmatan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosmadi berkata, pelancong yang menggunakan perkhidmatan bot ronda itu akan dibawa ke beberapa lokasi menarik bagi menikmati pemandangan indah Bukit Cabang yang berlatar belakangkan tumbuhan di dalam
tasik berkenaan seperti kangkung kerbau, semalu air dan keladi bunting.

Katanya, tumbuh-tumbuhan di dalam tasik itu yang berwarna kekuningan kebiasannya menjadi tumpuan pelancong untuk bergambar.

“Kebanyakan pelancong yang menggunakan perkhidmatan bot ronda ini pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar dengan pemandangan indah Bukit Cabang bersama tumbuhan di dalam tasik itu,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmadi berkata, selain pengunjung tempatan, perkhidmatan bot sewa itu turut mendapat tumpuan pelancong dari luar negara seperti Singapura, Thailand, China dan Arab Saudi.

Katanya, pengunjung yang ingin menggunakan perkhidmatan bot ronda tersebut akan dikenakan caj sebanyak RM10 seorang untuk tempoh 30 minit dengan jumlah maksimum seramai enam orang.

“Selain itu, lokasi ini turut menjadi tumpuan pemancing memandangkan terdapat banyak ikan air tawar di sini antaranya seperti toman, belida, sebarau, tilapia, lampam, haruan dan pelbagai lagi,” katanya.

Tambahnya, perkhidmatan bot memancing yang ditawarkan juga adalah berpatutan iaitu sekitar RM60 bagi tempoh separuh hari.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.