PETALING JAYA: Polis sehingga kini selesai mengambil 109 keterangan individu bagi membantu siasatan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm (FoF), Gohtong Jaya, Batang Kali dekat sini pada 16 Disember lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, masih terdapat keterangan yang perlu diambil daripada pihak terlibat bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Semua mereka yang dipanggil terdiri daripada pengusaha dan pekerja tapak perkhemahan di FoF serta waris serta mangsa terlibat,” katanya di sini, semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kertas siasatan itu akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (DPP) untuk tindakan selanjutnya sebaik sahaja siasatan selesai dilengkapkan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, ditamatkan pada pukul 12 tengah hari, 24 Disember lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah melakukan ‘flushing’ dan ‘sweeping’ di lokasi kejadian.
Penamatan itu dibuat setelah semua pihak bersetuju tiada lagi mangsa yang belum ditemukan.
Polis juga telah muktamadkan bilangan mangsa terlibat tragedi itu seramai 92 mangsa dengan 61 berjaya diselamatkan dan 31 meninggal dunia. – UTUSAN










