Tindakan pecat bertentangan arus rekonsiliasi pasca PRU15

Tindakan pecat bertentangan arus rekonsiliasi pasca PRU15 – Tian Chua

TIAN CHUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua menyifatkan tindakan keputusan PKR memecatnya daripada itu bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana politik saat ini.

Malah, bekas Ahli Parlimen Batu itu juga kesal dengan tindakan yang diambil Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR, Datin Dr. Tan Yee Kew kerana memilih untuk mengumumkan pemecatan itu kepada media sebelum memaklumkan kepada mereka yang terlibat. 

Beliau menyifatkan perbuatan itu sangat tidak profesional yang amat dikesali dan tidak sopan. 

“Dalam konteks skenario pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pihak-pihak yang berlawan telah mengetepikan permusuhan semasa pilihanraya. 

“Bahkan musuh lama termasuk mereka yang didakwa pengkhianat telah berdamai dan berikrar untuk bekerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan. 

“Namun, tanpa mempertikaikan kuasa kepemimpinan, tindakan keras menerapkan peraturan adalah seolah-olah bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana politik saat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Semalam, media melaporkan, PKR secara rasmi memecat Tian Chua dan empat lagi ahli selepas bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tanpa persetujuan parti. 

Empat lagi yang dipecat ialah Puah Chee Haur daripada cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (Gopeng), M Mohganan (Taiping), serta Nur Khairunisa Abdullah (Sadong Jaya).

Dalam pada itu, Tian Chua mengakui, beliau sedih dan kecewa dengan keputusan yang diambil PKR selepas terlibat berterusan berjuang selama lebih dua dekad terutamanya dalam gerakan reformasi. 

“Sepanjang perjalanan perjuangan ini, saya tidak sekali pun pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip atau objektif politik parti. Hati nurani saya bersih.

“Sejak awal lagi saya bersedia menerima akibat bertanding dalam pilihan raya tanpa restu pucuk pimpinan parti. Saya akur bahawa parti perlu menjaga disiplin organisasi,” ujarnya. 

Namun, tegasnya, beliau bertanggungjawab atas semua tindakannya tanpa menyalahkan sesiapa. 

“Saya menyertai perjuangan reformasi sejak tahun 1998 hanya dengan tujuan membawa perubahan demokrasi kepada tanahair. Hari ini saya bangga melihat usaha bertahun-tahun tidak sia-sia. Saya sedikit pun tidak menyesali setiap minit yang ditabur dalam perjuangan ini.

“Masih banyak lagi cabaran di hadapan kita. Saya berjanji kepada para penyokong bahawa saya tidak akan memperlahankan langkah kegiatan untuk melakukan pembaharuan. Saya tidak akan undur dari berjuang untuk membela hak dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.  –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya