Tiga pegawai bomba cedera dalam kebakaran gudang

Tiga pegawai bomba cedera ketika kebakaran gudang

MUHD. Farhan Shaari @ Zakaria yang cedera ditimpa bongkah kertas mampat terpakai semasa memadam kebakaran di Taman Perindustrian Ria Jaya, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pegawai bomba dan dua anggotanya cedera ketika memadam kebakaran di gudang penyimpanan kertas dan plastik terpakai di Taman Perindustrian Ria Jaya, di sini, pada pukul 5.18 pagi tadi.

Ketua Zon 2 Bomba, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II Syobirin Ab. Kadir berkata, insiden menyebabkan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhd. Farhan Shaari @ Zakaria ,41, cedera di kaki kanan selepas ditimpa bongkah mampat kertas.

Dua anggota iaitu Muhd. Alwi Mohd. Norizan, 34, dan Nurul Hafizah Ahmad, 41, masing-masing cedera akibat melecur di bahagian leher dan pipi.

“Kesemua yang cedera adalah pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani. Mereka diberikan rawatan awal sebelum dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),” katanya di sini, hari ini.

Menurut Syobirin, ketiga-tiga mereka kini berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan.

Sementara itu, beliau memaklumkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 melibatkan gudang berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati dua buah gudang iaitu blok yang menyimpan bongkah mampat kertas dan blok yang menyimpan bongkah mampat plastik sedang terbakar.

“Pegawai dan anggota seramai 27 orang daripada BBP Aman Jaya dan BBP Sungai Petani bersama enam jentera kemudian mengawal kebakaran,” katanya.

Katanya, mereka turut mendapat bantuan daripada 15 anggota dan empat jentera Balai Bomba Sukarela Semeling, Sungai Petani, Bedong dan Merbok untuk memadam kebakaran itu.

“Gudang yang menempatkan bongkah plastik terpakai itu bagaimanapun hangus terbakar dan kini usaha mengawal kebakaran masih diteruskan di sebuah lagi gudang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya