Tiga kementerian terlibat projek bina LCS - Mohamad

Tiga kementerian terlibat projek bina LCS – Mohamad

MOHAMAD Hasan diIringi Adlly Zahari bergambar bersama warga kerja Kementerian Pertahanan pada Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2023 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited meneruskan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pelan untuk memulakan semula projek tersebut akan dibentangkan ke Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu demi meningkatkan kesiagaan dan keupayaan pertahanan negara bagi melindungi kepentingan tanah air.

Berucap sempena Amanat Menteri Pertahanan 2023 di Auditorium, Wisma Pertahanan di sini hari ini, beliau berkata, tiga kementerian dilibatkan dalam meneruskan pembinaan kapal-kapal tersebut.

Katanya, ia melibatkan Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

“Saya turut memandang serius projek pembinaan kapal Second Generation Patrol Vessel berkeupayaan Littoral Combat Ship, LCS untuk TLDM demi mengukuhkan pertahanan dan perairan negara. 

“Saya akan meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan TLDM serta agensi lain seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera bagi merealisasikan penyiapan kapal LCS,” katanya.

Mohamad berkata, pelan untuk memulakan semula projek tersebut akan dibentangkan ke Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan pelan pembangunan keupayaan dan kapasiti pertahanan.

“Ini akan diteruskan dalam tempoh 2021 sehingga 2030, iaitu merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK-13,” katanya.

Bagi tahun ini, Mohamad berkata, kerajaan dijangka memperuntukkan sebanyak RM17.4 bilion kepada MINDEF, dengan RM11.4 bilion bagi belanja mengurus dan sebanyak RM5.9 bilion bagi belanja pembangunan. 

Dalam perkembangan bersaingan, beliau berkata, MINDEF komited mengukuhkan kerjasama antarabangsa bagi menjamin keselamatan negara.

Justeru, katanya, MINDEF memainkan peranan  besar bagi menyokong segala usaha diplomasi negara bagi memastikan kepentingan negara dapat dijaga.

“2022 adalah tahun yang mencabar bagi persekitaran keselamatan global. Konflik Russia dan Ukraine yang tercetus, bermula penghujung Februari tahun 2022 telah mendatangkan kesan negatif bukan sahaja kepada benua Eropah, bahkan seluruh dunia. 

“Di rantau ini pula, persaingan antara kuasa-kuasa besar telah menimbulkan ketegangan, terutama di perairan Laut China Selatan.

“Adalah penting untuk Malaysia untuk meneruskan  hubungan baik dengan negara-negara rakan, selaras dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara, iaitu, Perkongsian Berwibawa,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan,  Datuk Seri Muez Abd. Aziz serta Panglima Angkatan Tentera,  Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.