Tiada tawaran sertai parti, masih 'iddah' - Noh - Utusan Malaysia

Tiada tawaran sertai parti, masih ‘iddah’ – Noh

Tawaran parti
NOH Omar ketika menghadiri temubual Sinar Live di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tan Sri Noh Omar mengesahkan tiada menerima tawaran menyertai mana-mana parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN) dan masih berada dalam tempoh ‘iddah’.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, beliau mengakui masih terkilan dengan keputusan pemecatannya namun perlu bergerak terus ke hadapan demi meneruskan karier politiknya.

“Sekarang saya hanya move on, ibarat orang yang baru saja bercerai dan masih dalam proses iddah.

“Bagi saya berehat dan bertenang dahulu sebelum membuat keputusan untuk menyertai sebarang parti. Setakat ini belum ada tawaran dan mungkin saya jadi penceramah bebas,” katanya ketika ditemui selepas satu program bual bicara di Karangkraf di sini, petang tadi.

Utusan Malaysia semalam melaporkan PN Selangor bersedia menerima penyertaan pimpinan dan ahli UMNO termasuk bagi memperkukuhkan lagi jentera pembangkang di negeri ini.

Jumaat lalu, Noh dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sah dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, pemimpin digantung enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd. Sharif.

Jelas Noh, prinsip dan naluri hatinya bagaimanapun masih kekal seorang pejuang untuk parti serta rakyat, namun kesal dengan tindakan UMNO yang tidak memberinya peluang untuk membela diri mengikut perlembagaan.

“Namun, saya belum tahu mahu menyertai parti mana termasuk berapa lama tempoh iddah berkenaan. Keadaan itu ibarat mahu sertai kelab bola kena tetapi perlu melihat kaedah untuk bermain dan bukannya boleh keluar masuk begitu saja.

“Saya hanya mempunyai tiga pertuduhan dan bukannya 16 malah ia sepatutnya dibahaskan terlebih dulu sebelum keputusan dibuat. Saya juga bekas peguam dan bagaimana mahkamah itu belum lagi bersidang tetapi hukuman sudah dijatuhkan,” ujarnya.

Tambah Noh, beliau turut tidak akan membuat rayuan kerana menyifatkan pengakhirannya mungkin juga akan sama.

Justeru, UMNO dinasihatkan lebih memikirkan soal masa depan parti berbanding tindakan pemutihan dan pemutihan terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Jika sudah kalah, kita kena menerimanya dan terus maju ke hadapan tanpa memburukkan sesiapa terutama isu sabotaj. Saya akui masih sayangkan UMNO yang banyak berjasa dengan saya lebih 40 tahun namun saya bukan Yes man!. Bimbang putih-putih, nanti akan menjadi hitam,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya