Tiada lagi percuma tauliah mengajar agama di Wilayah Persekutuan

Tiada lagi permit percuma tauliah mengajar agama di Wilayah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas dua tahun ditunda pelaksanaannya, mereka yang ingin mengajar agama Islam di Wilayah Persekutuan perlu membayar untuk mendapatkan permit tauliah.

Ia dimaklum Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menurut Kaedah 3 Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Tauliah Mengajar Agama) Pindaan 2021.

Berdasarkan keterangan menerusi laman sesawang rasmi agensi itu, semua tauliah yang dikeluarkan akan dikenakan bayaran mengikut tiga kategori dan tempoh masing-masing.

“Kadar bayaran ini sebenarnya telah pun berkuat kuasa pada Januari 2021 lepas, namun kutipan hanya dikenakan kepada permohonan yang dibuat mulai Januari 2023,” katanya.

Tanggungjawab pengurusan tauliah berkenaan dikendalikan oleh Unit Istinbat, Bahagian Fatwa PMWP melibatkan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Individu yang berminat sama ada warganegara atau orang luar, boleh memohon dengan mengisi borang khas yang juga ada disediakan menerusi pautan laman agensi berkenaan.

Mereka perlu melampirkan gambar wajah diri, salinan kad pengenalan atau pasport, sijil akademik atau kemahiran yang disahkan serta dokumen tauliah dari negeri lain jika ada.

Pemohon itu akan ditemuduga oleh pihak urus setia dan keputusan bakal dimuktamadkan pula panel Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Individu yang lulus kemudian dipanggil untuk menghadiri Muzakarah Pemegang Tauliah sebelum diserahkan sijil dan kad tauliah mereka pada akhir program tersebut,” katanya.

Bayaran yang ditetapkan untuk tauliah mengajar kategori khas bagi setiap program ialah RM100 kepada warganegara dan RM200 jika pemohon tersebut bukan rakyat Malaysia.

Sementara tauliah mengajar kategori bukan khas pula untuk warganegara masing-masing ialah RM30 bagi tempoh setahun, RM50 (tiga tahun) dan maksimum RM80 (lima tahun).

Jika bukan warganegara pula, pemohon tersebut dikenakan bayaran RM50 sahaja untuk setahun bagi tauliah bukan khas itu dan perlu memohon sekali lagi pada tahun berikutnya.

Situasi adalah berbeza untuk warganegara apabila mereka boleh memperbaharui tauliah untuk kategori bukan khas dengan kadar bayaran sama mengikut tempoh tahun dipilih.

“Pembayaran hendaklah dijelaskan selepas menerima pengesahan perakuan lulus tauliah dan boleh dibuat di kaunter Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya.

PMWP menambah, pemohon mestilah minimum lulus Sijil Pelajaran Malaysia dengan ada subjek agama manakala lepasan institusi pendidikan tidak formal boleh dipertimbangkan.

Pemegang tauliah dilarang menyebarkan ajaran yang bertentangan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan turut tidak boleh menghina perkara khilafiah empat mazhab muktabar.

Mereka juga tidak dibenarkan menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja Melayu serta bercakap isu politik, hal peribadi individu dan pihak berkuasa agama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.