Telur kekal di bawah harga kawalan

Telur kekal di bawah harga kawalan

FUZIAH Salleh berbual dengan peniaga nanas yang menyertai Karnival Jualan Rahmah di Kompleks Belia dan Sukan, Alor Setar. -UTUSAN/MOHD RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan masih berpegang kepada pendirian untuk meletakkan telur di bawah harga kawalan dan tidak mengapungkan harganya seperti dimahukan oleh pihak tertentu yang terlibat dalam sektor bekalan dan penjualan sumber protein tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, situasi semasa kini menampakkan rakyat masih memerlukan supaya harga telur dikawal dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan hasrat agar kerajaan mengawal harganya.

“Ada dua perkara sebenarnya berkaitan isu ini iaitu pertamanya, bekalan telur yang mana kita kini sudah berada di fasa terakhir bagi menstabilkan bekalan. Keduanya dari sudut harga kawalan yang Perdana Menteri sendiri menampakkan hasrat dan semangat untuk kawal harga. 

“Langkah ini bagaimanapun bukanlah untuk selama-lamanya sebaliknya cuma sementara hingga ekonomi kita kembali pulih dan pengguna ada kuasa membeli. Setakat ini rakyat masih memerlukan harga telur yang dikawal. Disebabkan itu, kita masih berpegang kepada pendirian untuk mengekalkan apa yang ada sekarang (kawalan harga telur),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan ‘aduan suri’ dan peremajaan semula saluran aduan kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersempena Karnival Jualan Rahmah di sini, hari ini.

Laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini menyebut, pengusaha ladang ayam penelur mendesak kerajaan memansuhkan skim kawalan harga sumber protein itu yang disifatkan sebagai sia-sia ketika Malaysia turut mengimport produk berkenaan dari India hingga menyebabkan harganya menjadi lebih mahal.

Menurut laporan itu, ramai dalam kalangan pengusaha ladang ayam telur kini di ambang muflis dan bertahan hanya kerana bergantung kepada pembayaran subsidi kerajaan bagi menampung kos operasi mengeluarkan telur.

Sementara itu, Fuziah berkata, siasatan sedang dilakukan terhadap pihak yang didakwa mengambil keuntungan lebih hingga memaksa peruncit mengenakan caj-caj tertentu seperti caj pengendalian dan pengangkutan kepada pelanggan.

Katanya, semakan mendapati ada dalam kalangan pekedai dan peruncit terpaksa mengenakan caj tersebut kepada pengguna kerana mereka sendiri mendapatkan bekalan telur pada harga jualan dan bukannya harga borong.

“Sepatutnya apabila sampai kepada peruncit, mereka masih boleh buat untung apabila dijual kepada pengguna tetapi sekarang ini kita terima aduan yang mereka pun dapat bekalan pada harga jualan menyebabkan pengguna dicaj dan apabila itu berlaku, kita tak salahkan peruncit sepenuhnya,” katanya.

Dalam mengatasi masalah tersebut kata beliau, KPDN sebagai sekretariat kepada Majlis Tindakan Kos Sara Hidup terus menjalin kerjasama dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.