Tarik sokongan Cina sokong PN cabaran parti Gerakan

Tarik sokongan Cina sokong PN cabaran parti Gerakan

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengakui mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan undi golongan bukan Melayu khususnya kaum Cina supaya memihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang berlangsung tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, usaha mendapatkan sokongan orang Cina yang dilihat lebih ke arah Pakatan Harapan (PH) menjadikannya sebagai cabaran besar bagi parti itu.

Katanya, Gerakan mesti memberi mesej yang benar-benar positif kepada pengundi bukan Melayu untuk menerima PN kerana gabungan itu dipercayai lebih bersih dan berintegriti.

“Inilah cabaran bagi gerakan dalam pilihan raya negeri nanti. Semasa PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) pun, kita semua sudah nampak sokongan orang Melayu kepada PN, tetapi bukan untuk bukan Melayu.

“Sebab itu, Gerakan harus memberi mesej yang positif kepada mereka untuk menerima kami. Saya akui saluran media sosial kami tidak kuat, jadi, ia akan diperkuat selepas ini untuk meyakinkan mereka terhadap PN,” katanya ketika dihubungi semalam.

Berhubug calon dan kerusi-kerusi DUN yang akan ditandingi parti, beliau berkata, terdapat beberapa perkara perlu dirangka semula walaupun keputusan dibuat semasa PRU15.

“Semasa PRU15, perbincangan kerusi bagi semua negeri di seluruh negara sudah diadakan, tetapi, akhirnya ada enam DUN tidak dibubarkan. Jadi, ia akan disambung selepas ini dan ada perubahan.

“Contohnya di Pulau Pinang ada 40 kerusi DUN, kami ada berbincang siapa akan mewakili PN bertanding di sana semasa PRU15. Tetapi, ketika ini ia belum dimuktamadkan dan perlu sedikit perubahan,” katanya.

Dalam PRU15 sebelum ini, enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak membubarkan DUN masing-masing.

PRN mesti diadakan selepas DUN dibubarkan atau DUN akan terbubar dengan sendirinya apabila mencapai tempoh lima tahun sejak pilihan raya negeri yang berlangsung sebelum itu.

Dalam pada itu kata Dominic, beliau akan bertanding di Pulau Pinang, namun tidak mendedahkan kawasan spesifik DUN yang akan ditandingi.

Beliau juga optimis ketika ditanya mengenai usaha parti itu yang tidak pernah terhenti walaupun Gerakan sudah banyak kali tewas dalam siri pilihan raya umum dan pilihan raya negeri, sekalipun berada di dalam gabungan PN.

“Kami masih percaya dengan ideologi, integriti dan antirasuah dan meneruskan manifesto yang akan kami tawarkan untuk pengundi. Di Kelantan dan Terengganu, kami akan tunjukkan hasrat bertanding di sana. Kami mahu letak calon yang boleh menang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya