Tak semua undang-undang boleh dianggap lapuk

Tak semua undang-undang boleh dianggap lapuk

Tak semua undang-undang boleh dianggap lapuk seperti perundangan syariah berkaitan perkara yang ditegah al-Quran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Undang-undang lapuk perlu diberikan tafsiran yang betul agar matlamatnya tidak menuju kepada liberalism.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ini kerana undang-undang yang digubal ratusan tahun dahulu tidak semestinya boleh dianggap lapuk dan perlu dimansuhkan.

Beliau menjelaskan, prinsip undang-undang yang menyentuh nilai agama dalam kerangka sistem perundangan negara perlu dipulihara selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama bagi negeri di Malaysia.

“Sebagai contoh, undang-undang yang diwarisi dari zaman Rasulullah SAW yang menyentuh kewajipan dan tegahan dalam al-Quran, bukanlah undang-undang lapuk.

“Undang-undang itu menyentuh prinsip seperti akidah, nilai akhlak dan seumpamanya tidak wajar dimansuhkan seperti undang-undang bunuh balas bunuh, mencuri, merompak dan menghina kesucian agama, selain perlindungan hidup beragama perlu dipelihara,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, undang-undang lapuk perlu dihadkan terhadap kaedah dan pendekatan yang tidak lagi sesuai untuk mencapai maksud pemeliharaan falsafah, doktrin dan prinsip undang-undang di Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang watan (law of the land) kita pada hakikatnya adalah undang-undang Islam yang menerima pengaruh Barat secara terhad apabila British memerintah Negeri Selat dan British menjadi penasihat dalam hal ehwal Negeri Melayu Bersekutu serta Tidak Bersekutu.

“Prinsip tersebut dinyatakan dengan jelas dalam keputusan Mahkamah, enakmen Undang-undang sivil sebelum tahun 1956 dan akta selepasnya,” ujarnya.

Sebelum ini, Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu, undang-undang lapuk bakal disemak oleh kerajaan bagi memastikan ia sesuai digunakan mengikut peredaran dan perkembangan semasa.

Ini kerana kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi itu, Malaysia mewarisi pelbagai undang-undang dari zaman penjajahan British, jadi wajar disemak antaranya Akta Kontrak 1950 Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950, Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan Akta Fitnah 1957.

Wan Ahmad Fauzi berkata, ramai yang melihat seolah-olah British menjajah Negeri Melayu tetapi itu bukanlah hakikat sejarah perundangan dan fakta sebenar yang berlaku jika semua bersetuju bahawa raja-raja masih memiliki kedaulatan sejak Kesultanan Melayu Melaka.

“Ini termasuk zaman kemunculan Kerajaan Melayu berdaulat hingga terbentuknya sembilan buah kerajaan Negeri Melayu, bahkan Persekutuan Tanah Melayu 1957 diinstitusikan oleh kedaulatan raja-raja Melayu menurut adat Melayu,” katanya.

Justeru, katanya, hasrat kerajaan meminda undang-undang lapuk perlu berlaku dalam ruang lingkup yang digariskan di atas yang mana matlamatnya perlu diletakkan atas garisan lurus untuk meneruskan agenda pengharmornian undang-undang Persekutuan dan negeri dengan prinsip patuh syariah.

Dalam konteks itu, kata beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu diupayakan sebagai pusat penyelidikan dan perundingan utama melalui jalinan kerjasama dengan institusi dan pakar bidang untuk menjadikannya badan berwibawa bagi menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN