Tahun kukuhkan kredibiliti - Izzue Islam - Utusan Malaysia

Tahun kukuhkan kredibiliti – Izzue Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM 2022 boleh dianggap sebagai tahun cemerlang buat Izzue Islam.

Selain membintangi pelbagai drama sebagai teraju utama dan diberi kepercayaan menjayakan naskhah di layar lebar, wajah jejaka berkulit cerah ini turut menghiasi pelbagai program hiburan sebagai pengacara.

Kalendar 2022 Izzue juga dipenuhi warna indah apabila namanya tersenarai sebagai Top 5 kategori Pelakon Pembantu Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-32 dan Anugerah Sri Angkasa 2022, selain Asian TV Awards ke-27 di Manila, Filipina.

Meskipun tidak menggenggam sebarang trofi , kerjaya Izzue dilihat sedang meniti puncak populariti dengan pelbagai tawaran kerja bersilih ganti, sekali gus menjadi permulaan terbaik tatkala 2023 menyelak harinya.

Pemilihan Izzue yang sudah 13 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan sebagai penghias muka depan Pancaindera sempena 2023 tepat pada masanya.

Lakonannya sebagai Amir dalam drama bersiri Rindu Kasih yang disiarkan November lalu membekas di jiwa penonton.

Keampuhan lakonan Izzue memuncakkan kemarahan penonton terhadap karakter Amir sehingga ramai menaruh harapan drama bersiri yang menghiasi slot Samarinda di TV3 itu disambung, tahun ini.

“Bukan senang membawakan watak Amir, apatah lagi untuk menterjemahkan watak marah dan menangis yang melibatkan permainan emosi yang besar,” katanya kepada Pancaindera.

Digandingkan dengan Ummi Nazeera, Izzue berkata, dia serasi beraksi di samping pelakon bertubuh kecil molek itu.

Meskipun hanya empat kali bergandingan, impak lakonan mereka begitu menjadi sehingga dianggap sebagai gandingan paling serasi.

Izzue ikhlas memberitahu, tiada sebarang tips atau petua yang diamalkan sebelum memasuki set penggambaran.

Sebaliknya, mereka bersikap profesional dan menguasai peranan masingmasing dengan baik.

“Ini adalah drama keempat kami digandingkan sejak Patahnya Sebelah Sayap. Tidak banyak drama kami berlakon bersama, cuma mungkin kami sudah kenal lama dan faham tahap lakonan masing-masing.

“Jadi, ia membantu kami untuk lebih memahami kekuatan masing-masing. Kebanyakan babak dalam drama itu tidak dirancang. Ummi boleh membaca pergerakan dan permainan watak saya.

“Malah, dia juga tahu bagaimana untuk ‘sambut’ dan balas. Kita sudah tahu ‘energy’ masing-masing, selain komunikasi antara satu sama lain turut penting,” katanya.

Anak? Saya tak terasa hati

HAMPIR sembilan tahun mendirikan rumah tangga, Izzue sebenarnya sudah lali dengan soalan tentang anak. Melewati usia 32 tahun, jujur kata Izzue, dia tidak pernah terasa hati selagi pertanyaan tersebut bukan berbentuk sindiran.

“Ketika awal perkahwinan, saya memang rimas kalau orang asyik bertanya mengenai anak. Saya respons mengikut intonasi pertanyaan, apakah mereka betul-betul bertanya atau mahu menyindir.

“Daripada marah, lebih baik saya beredar. Kalau sekadar bersembang, saya jawab sahaja. Tiada masalah kerana saya dan isteri akur, belum rezeki untuk menimang cahaya mata,” katanya.

Ditanya sama ada pernah membuat pertimbangan untuk mengambil anak angkat, pelakon asal Kota Bharu, Kelantan ini mengakui, pernah memikirkan perkara tersebut.

Namun, dia enggan menanggung risiko kerana bimbang tidak mampu melunaskan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik.

Atas alasan itu, Izzue dan isteri, Awin Nurin terpaksa menangguhkan dahulu hasrat tersebut.

“Saya pernah berbincang dengan Awin mengenai perkara ini. Namun, apabila difikirkan balik, saya jadi risau sebab takut anak terabai dan tidak mampu memberi kasih sayang sepenuhnya.

“Jadual kerja saya pula tidak menentu dan bimbang kalau dibawa ke hulu dan ke hilir, nanti jatuh sakit dan akan membebankan banyak pihak,” kongsinya.

Izzue beruntung kerana memiliki ahli keluarga yang begitu memahami karier dan kehidupan peribadinya.

Katanya, baik keluarga sendiri mahupun mentua, mereka tidak pernah membangkitkan soal anak.

Mereka katanya, sentiasa memahami dan tidak mendesak untuk segera memiliki cahaya mata.

“Ahli keluarga tidak pernah bertanya tentang pengambilan anak angkat. Lagipun, saya ada anak saudara yang ramai, jadi mereka tidak pernah bertanya perkara itu dan faham situasi kami,” jelasnya.

Secara jujur, kata Izzue, dia tidak sempat kesunyian, apatah lagi rutin hariannya sentiasa dipenuhi dengan komitmen kerja.

“Kalau orang cakap, anak adalah punca bahagia, kami pula mempunyai pendapat sendiri. Kebahagiaan itu boleh kita cipta, meskipun tanpa kehadiran cahaya mata.

“Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Cuma, sudah tentu ia akan menjadl lebih bermakna apabila dikurniakan anak.

“Ada juga yang memiliki ramai anak tetapi kehidupan porak-peranda, ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” jelasnya.

Matang urus emosi

PERBEZAAN usia lapan tahun juga tidak pernah mencetus masalah buat Izzue dan isteri.

Sebaliknya, kata Izzue, setiap pasangan perlu bijak menguruskan kehidupan berumah tangga dan emosi masing-masing.

Izzue bahkan bersyukur kerana memiliki isteri yang pandai menjaga rumah tangga, selain merangkap pengurus yang sangat memahami tuntutan kerjayanya.

Sebagai suami, Izzue memberitahu, dia tidak pernah memarahi isteri di rumah, sebaiiknya menyalurkan emosi tersebut ke dalam lakonan ketika di set penggambaran.

“Saya tidak pernah marah isteri, tetapi bergaduh itu selalu juga. Saya sangat menghormati Awin sebagai pengurus, malah dia bertanggungjawab membawa saya masuk dalam industri.

“Awin boleh sahaja duduk di rumah atau bersantai dengan kawan-kawan.Tetapi, dia pilih untuk menjaga saya yang bekerja dari pagi sampai ke malam.

“Saya tidak boleh bayangkan kalau Awin tiada di depan mata. Dari dahulu lagi, kami sudah biasa ke mana-mana bersama. Pernah satu hari Awin tiada disebabkkan perlu menghadiri mesyuarat, saya pula asyik hubungi bertanyakan dia di mana,” katanya.

Bukan ‘caras’

DITEBAK sama ada dia ‘mencaras’ peluang orang lain, terutama sejak diberi kepercayaan mengendalikan Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37, Izzue dengan bersungguh-sungguh menyatakan, ia adalah rezeki.

Jelasnya, tawaran itu diberikan atas dasar kepercayaan dan bukan mengampu produksi hingga membunuh rezeki orang lain.

Dengan tawaran bersilih ganti di TV3, Izzue juga menolak apabila ada yang menganggap dia anak emas stesen berkenaan.

“Bukannya saya datang cakap boleh buat job ini sehingga orang lain yang sudah dipilih pula ditendang. Kalau itu, baru mencaras.

“Saya masuk bidang pengacaraan sebab rezeki. Sudah beberapa tahun dalam industri, saya mula memikirkan cabang baharu, selain menyanyi dan berlakon.

“Untuk bertahan dalam jangka masa panjang, saya perlu memikirkan strategi lain sebab bimbang kalau penonton sudah mula bosan dengan lakonan kita,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.