Suami isteri maut, tujuh cedera kemalangan empat kereta - Utusan Malaysia

Suami isteri maut, tujuh cedera kemalangan empat kereta

KEADAAN dua daripada empat kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 41.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan dekat Kampung Selawa, Merchang, Marang, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Sepasang suami isteri maut manakala tujuh yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kereta di Kilometer 41.5 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Kampung Selawa, Merchang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, penumpang hadapan Perodua Axia, Rozita Mamat, 41, maut di lokasi kejadian manakala suaminya, Ahmad Arshad Mamat, 50, yang memandu kenderaan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Manakala, tujuh yang cedera termasuk tiga anak pasangan suami isteri berkenaan iaitu Nur Ain Fitriyah Ahmad Arshad, 17, Mohammad Adam Najmudden, 13, dan Muhammad Adzli Abid Muayyad, 7.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira, Proton Satria Neo, Perodua Myvi dan Perodua Axia.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Satria Neo dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu terbabas disebabkan hilang kawalan setelah terlanggar lopak air yang berada di tengah jalan.

“Kereta berkenaan kemudiannya telah memasuki laluan bertentangan lalu melanggar Perodua Axia, Perodua Myvi serta Proton Wira yang sedang bergerak.

“Akibat daripada itu, penumpang hadapan Perodua Axia maut di tempat kejadian manakala pemandu meninggal dunia ketika sedang dapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merchang,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd. Zain, empat lagi mangsa yang cedera melibatkan pemandu dan penumpang Satria Neo serta Proton Wira yang turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya