Suami isteri didakwa kemuka dokumen palsu tuntut insentif Perkeso

Suami isteri didakwa kemuka dokumen palsu tuntut insentif Perkeso

KOMPLEKS Mahkamah Alor Setar di Jalan Suka Menanti, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri berdepan tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 yang berjumlah hampir RM30,000, dua tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Anuar Che Lat, 53, bersama isterinya, Rohana Othman, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, pasangan berkenaan secara bersama-sama didakwa memberikan borang pengesahan pekerja program insentif pengambilan pekerja atas nama Widad Tours & Travel bagi menuntut insentif tersebut.

Borang itu didakwa diserahkan kepada seorang Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah dengan niat memperdayakan agensi berkenaan.

Mereka didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut mengandungi butiran palsu tentang tiga individu berbeza sedangkan kesemua mereka yang dinamakan itu bukan pekerja syarikat berkenaan yang dimiliki pasangan tersebut.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan pada 20 Jun 2021, 9 Mac 2021 dan 23 Ogos 2021 di Wisma Perkeso, Jalan Teluk Wan Jah, di sini.

Pasangan terbabit didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan dihadapi.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Salizawaty Abd. Samad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Rahamathullah Baharudeen.

Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan agar kedua-dua tertuduh masing-masing dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, namun peguam memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dihadapi. Kedua-dua mereka membayar jaminan ditetapkan itu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya