SOP Covid-19 di sekolah bergantung nasihat KKM - Menteri - Utusan Malaysia

SOP Covid-19 di sekolah bergantung nasihat KKM – Menteri

Covid-19 sekolah
FADHLINA Sidek menyapa seorang murid ketika lawatannya pada sesi persekolahan hari pertama dekat Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN /  AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketetapan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dan penutupan sekolah adalah bergantung kepada saranan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) terutama apabila melibatkan penularan varian baharu virus itu.

Justeru, ibu bapa murid tidak perlu bimbang apabila penularan penyakit berjangkit berkenaan kini dalam pemantauan dan menjadi fokus utama Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagaimanapun sehingga kini KKM belum mengeluarkan sebarang makluman kepada Kementerian Pendidikan untuk pihaknya berbuat demikian.

“Berhubung pemakaian pelitup muka di sekolah serta penjarakan meja murid kelas, itu semua bergantung keputusan KKM. Kita akan akur dengan segala ketetapan yang akan dibuat kementerian tersebut.

“Sekiranya KKM ada mengeluarkan pekeliling untuk Kementerian Pendidikan (KPM) berbuat demikian (menutup sekolah), maka kita akan ikut saranan yang diberikan itu. Bagaimanapun, keselamatan dan kesihatan murid-murid sentiasa menjadi keutamaan KPM. Setakat ini, semua dalam keadaan terkawal,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika lawatannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun selepas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah semalam memaklumkan bahawa dua varian baharu Covid-19, iaitu BA.5.2 dan BF.7 dikesan berada di negara ini.

Menurut Noor Hisyam, sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 4,148 kes jangkitan varian BA.5.2 dan tiga kes jangkitan BF.7 telah dikesan di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kementeriannya tidak mempunyai perancangan untuk menutup sekolah selain daripada saranan KKM dan takwim pendidikan bagi persekolahan pada tahun ini yang mungkin mengganggu operasi lain seperti kantin sekolah dan sebagainya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kebimbangan pengusaha kantin kekurangan pendapatan jika berlaku penutupan sekolah memandangkan cuti yang termaktub dalam takwim sekolah didakwa terlalu banyak.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairudin Hamzah mendakwa, mereka hanya dapat beroperasi dalam tempoh yang singkat untuk enam bulan pertama kerana terlalu banyak cuti diberikan KPM.

Menurutnya, ia membebankan pengusaha yang perlu membayar gaji seorang pekerja RM1,500 sebulan memandangkan upah harian tidak mendapat sambutan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya