Silap UMNO sendiri, kenapa mahu salahkan PN pula?

Silap UMNO sendiri, kenapa mahu salahkan PN pula?

TINDAKAN UMNO memecat dan menggantung beberapa pemimpinnya yang didakwa membelakangkan dan melanggar peraturan parti mencetuskan reaksi yang berbelah-bahagi dalam kalangan ahli-ahlinya. - UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak wajar meletakkan kesalahan kepada Perikatan Nasional (PN) mengenai kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ia berpunca daripada tindakan sendiri yang enggan berubah menjadi lebih baik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, UMNO perlu sedar bahawa parti itu sudah lama terpalit pelbagai skandal dan kontroversi sehingga membuatkan rakyat tidak lagi mempercayai parti.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu) itu berkata, UMNO juga enggan menerima kritikan dan merasakan sentiasa benar dalam membuat keputusan, sedangkan, sejarah kejatuhan dinasti politik dan peradaban manusia berpunca akibat ‘pembunuhan’ oleh diri sendiri.

“Analogi beginilah, kempen dalam pilihan raya ini seperti memasak, ada rezeki dan tukang masak yang hebat dan itu kami ada. ‘Bahan-bahan mentah’ yang disediakan UMNO itu segar jadi kami tinggal ambil sahaja dan memasak nya. Pengundi pula ibarat pembeli, jadi mahu salahkan kami buat apa? Yang sediakan bahan itu kamu (UMNO) tetapi tidak diguna sebaiknya.

“Maksudnya, di sini, ini adalah kelemahan, kesilapan dan salah laku pemimpin UMNO sendiri terhadap rakyat dan negara. Rakyat tidak lupa dengan skandal presiden parti yang dibicara di mahkamah, tanah rizab Melayu hilang, projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) tidak siap dan rakyat tidak lupa siapa yang mengugut hakim.

“UMNO masih menjual mempunyai tiga juta ahli, itu sudah berapa lama? Sudah ramai yang keluar dan tinggalkan UMNO dan hingga kini, mereka rebah kerana masih menghidap sindrom penafian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, pertuduhan terhadap PN seolah-olah menunjukkan UMNO merendahkan darjah kecerdasan (IQ) pengundi yang telah memilih wakil rakyatnya dalam PRU15.

Katanya, perang kognitif adalah suatu kelaziman dalam politik bagi menentang pihak lawan dan membuktikan kehebatan sendiri.

“Tentunya dalam kempen pilihan raya parti politik akan tunjukkan kelemahan pihak lawan. Atas budi bicara pengundilah menilai siapa pemimpin mereka. Setakat ini, saya percaya PN tidak melanggar undang-undang dalam berkempen.

“Kalau beginilah sikap pemimpin UMNO masih menjadikan PN sebagai kambing hitam atas kekalahan mereka, maka, UMNO tidak akan berubah. Masih merasakan sentiasa betul, berkhayal, ego tinggi dan tidak bermuhasabah,” katanya.

Ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO kelmarin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa, kekalahan parti dalam PRU15 kerana menjadi ‘mangsa perang kognitif’ dimainkan PN.

Katanya, PN membelanja ratusan juta ringgit bagi menjayakan ‘perang’ berkenaan khususnya untuk mempengaruhi pengundi muda menggunakan media sosial untuk menanam sentimen jahat terhadap UMNO.

Pada PRU15, UMNO mencatat pencapaian terburuk dalam sejarah pilihan raya apabila hanya menang 30 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ditekan oleh beberapa pemimpin parti termasuk parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) supaya meletak jawatan demi menebus maruah susulan kekalahan gabungan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×