Siasat segala kemungkinan kes tukang masak kena bom

Siasat segala kemungkinan kes tukang masak kena bom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat segala kemungkinan dalam kes kematian tukang masak ketika memegang bungkusan bom buatan sendiri di Pandan Indah dekat sini, Khamis lalu. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan kes itu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk kemungkinan suspek dan mangsa saling mengenali serta motif cemburu.

“Kita tidak dapat nak dedahkan perincian siasatan, polis siasat dahulu namun kita siasat dari segenap sudut.

“Berilah polis masa untuk siasat kedua-dua suspek yang sedang direman ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan cemburu dipercayai motif pembunuhan tukang masak berusia 28 tahun selepas memegang bungkusan atas keretanya di sebuah restoran di Pandan Indah di sini, Khamis lalu.

Sumber dilaporkan mendakwa, tindakan dilakukan itu selepas lelaki berusia 30 tahun itu berang apabila mangsa menjalin hubungan sulit dengan isterinya.

Malah, dakwa sumber lagi, ketika kejadian itu, suami isteri terbabit berada berhampiran restoran tempat mangsa bekerja.

Dakwanya, alat kawalan jauh itu kemudiannya ditekan sebaik sahaja mereka melihat mangsa memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya.

“Perbuatan pasangan itu turut terakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) dan sejurus selesai, pasangan terbabit melarikan diri dan pulang ke Kedah,” dakwanya. 

Semalam, polis menahan reman selama tujuh hari pasangan tersebut bagi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya