Sertai Pakatan Harapan kukuhkan Pejuang

Sertai Pakatan Harapan kukuhkan Pejuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) perlu menyertai gabungan politik Pakatan Harapan (PH) yang dilihat lebih mantap (established) bagi membolehkan usaha pengukuhan parti berada di landasan yang sepatutnya.

Pejuang tidak mempunyai pilihan kerana gabungan politik lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai sasaran pasaran yang sama, iaitu menarik sokongan pengundi Melayu dan penganut agama Islam di negara ini.

Sekiranya Pejuang memutuskan bergerak solo terutama dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, ia hanya lebih menyukarkan parti ketika Pejuang telah pun tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, Pejuang perlu mencari pembaharuan kerana sudah tidak mempunyai tokoh politik berpengaruh seperti bekas Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Pejuang perlu ada naratif yang kuat dikaitkan dengan konteks Melayu. Siapa tokoh yang boleh dibawa dan apa hala tujunya selepas ini? Ia masih samar. Mukhriz sendiri pun tidak diterima pengundi Melayu. Jadi, penting untuk menyusun semula strategi bagi membolehkan Pejuang terus relevan.

“Kalau mahu bangkit semula boleh, dengan syarat mencari gabungan lebih mantap, buang ego dan sertai PH. Jika mahu bangkit secara solo pun boleh, cuba tawarkan bagaimana parti ini menjadi parti alternatif seperti dahulu. Namun sudah pasti akan ambil masa yang lama.

“Untuk sertai PH, ia bergantung dengan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu terima atau tidak. Kena faham, sekarang politik Malaysia sukar jika bergerak solo terutama persaingan antara parti Melayu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB, Sunway University, Prof. Wong Chin Huat bagaimanapun berkata, Pejuang dan GTA sudah tidak relevan dalam politik negara.

Hal itu kerana, pasaran pengundi pilihan raya untuk pengundi nasionalis Melayu sudah terlalu ‘tepu’ dengan kehadiran parti-parti sedia ada seperti UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Sedangkan, Pejuang parti yang terlalu kecil manakala GTA hanya sebuah pertubuhan (NGO) tanpa Pejuang. Pilihan realistik Pejuang mungkin seperti Bersatu dan parti Muda, ialah berpakat dengan PH.

“Tetapi, tidak semudah itu kerana ia akan ‘dihalang’ oleh UMNO yang tidak suka pesaing. Jika Pejuang boleh bangkit kembali di Kedah, ini sudah cukup baik,” katanya.

GTA adalah gabungan politik yang masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), dianggotai empat parti komponen utama iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Berjasa (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua kelmarin, Mukhriz mengumumkan keputusan keluar daripada GTA bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

Pada PRU15, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen meskipun meletakkan calon di 125 daripada 222 kerusi. 58 kerusi ditandingi Pejuang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.