Sekolah Kiblah anjur Karnival Pendidikan Islam sempena 30 tahun

Sekolah Kiblah anjur Karnival Pendidikan Islam sempena 30 tahun

ISMAIL Omar (tiga dari kiri) bergambar bersama wakil institut pengajian tinggi swasta yang menyertai Karnival Pendidikan Islam Kiblah di Jenderam Hulu., Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama seperti sekolah tahfiz, sekolah pondok atau sekolah agama pada masa kini adalah amat memberangsangkan.

Ini kerana, anak-anak yang mendapat pendidikan agama akan mempunyai jati diri, keperibadian serta sahsiah yang terpuji dalam kehidupan seharian berlandaskan ajaran Islam sepenuhnya.

Menurut Pengarah Urusan Sekolah Kiblah, Dr. Ismail Omar, perkara tersebut bukanlah menjadi satu trend sebaliknya ibu bapa sudah pandai menilai kerana mahu yang terbaik buat anak masing-masing.

“Oleh kerana itu kita menganjurkan Karnival Pendidikan Islam bagi memberi pendedahan dan maklumat kepada orang ramai mengenai bentuk pengajian yang ditawarkan institusi pendidikan Islam seperti sekolah rendah dan menengah agama, kolej swasta, maahad tahfiz, institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Ia juga mampu membuka minda orang ramai untuk mengetahui bahawa mereka yang mengambil jurusan agama bukan sahaja boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut, malahan boleh memasuki jurusan konvensional yang ditawarkan institusi pengajian tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Karnival Pendidikan Islam Sempena Sambutan 30 Tahun Sekolah Kiblah di Jenderam Hulu hari ini.

Ismail berkata, antara pihak yang menyertai karnival tersebut adalah Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Kemahiran Kiblah dan Kolej Point.

Mengulas mengenai Kolej Kemahiran Kiblah, ia ditubuhkan dua tahun lalu dan menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pelbagai tahap untuk Pengajaran Tahfiz, Pengurusan Tahfiz, Pengurusan Masjid, Pentadbiran Pejabat dan lain-lain.

“Bagi Kolej Point mereka menawarkan SKM bagi program Artis Multimedia Visual dan Perekabentuk Multimedia Animasi,”katanya.

Beliau menambah, sebagai penganjur, pihaknya berharap orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat tentang peluang pendidikan Islam, hadir ke karnival pendidikan tersebut yang bermula hari ini dan berakhir esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.