TAIPING: “Saya tak sanggup lihat video kemalangan adik saya.” Itu kata abang kepada Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, lelaki yang maut dirempuh kereta lumba yang hilang kawalan sewaktu perlumbaan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor Kampung Gajah, di sini kelmarin.
Berikutan itu, abang mangsa yang enggan dikenali berharap video kemalangan melibatkan arwah adiknya itu tidak lagi disebarkan selepas rakaman detik-detik kemalangan melibatkan dua kereta lumba yang bergesel dan terbabas sebelum merempuh mangsa, tular dalam media sosial sejak kelmarin.
“Saya tak sanggup melihat video itu, jadi hentikanlah menyebar video itu. Saya harap semua pihak menjaga perasaan kami yang kehilangan ahli keluarga.
“Adik saya tidak berlumba, dia berada di litar semasa perlumbaan kerana ada kerja yang perlu dia lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah arwah adiknya di Taman Taman Saujana Permai, Kamunting dekat sini, semalam.
Menurutnya, jenazah adiknya selamat dikebumikan di Kamunting selepas solat Subuh.
Sementara itu, semasa ditemui pemberita di Hospital Changkat Melintang dekat Parit semalam, isteri mangsa, Nor Idayu Yunus, 29, berkata, suaminya seorang pengusaha bengkel kereta dan memang mengetahui suaminya ke Litar Dato’ Sagor.
Katanya, suaminya ke Litar Dato’ Sagor untuk berjumpa rakan dari Kuala Lumpur.
“Sebelum ini suami memang ada beritahu dia hendak ke Kampung Gajah untuk mengambil alat ganti kereta daripada rakannya dari Kuala Lumpur.
“Memang rutin suami ke Kuala Lumpur untuk ambil alat ganti kenderaan, jadi apabila rakannya datang ke Kampung Gajah, dia tidak perlu pergi jauh untuk ambil alat ganti kereta.
“Kami tahu ada perlumbaan di sana dan suami ada cakap yang dia ingin saksikan perlumbaan itu,” katanya.
Nor Idayu berkata, dia mengetahui mengenai kemalangan itu daripada seorang rakan kerja suaminya yang menghubunginya melalui panggilan telefon pada pukul 4 petang kelmarin.
Katanya, namun ketika dia dan anak-anak sampai ke Hospital Changkat Melintang, doktor sahkan suaminya sudah meninggal dunia.
“Sepatutnya malam ini (malam tadi), kami sekeluarga keluar berjalan-jalan untuk sambut tahun baharu. Kebetulan saya pun cuti dan dia pun boleh habiskan kerjanya awal,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan kemalangan semalam berpunca akibat dua buah kereta hilang kawalan selepas bergesel sesama sendiri.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pergeselan itu menyebabkan sebuah daripada kereta tersebut terbabas ke kanan litar lalu lalu melanggar salah seorang penonton yang berada di atas kawasan berumput dalam jarak 30 kaki dari laluan litar.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah dan telah diberikan rawatan segera oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang pada pukul 5 petang.
Menurutnya, pertandingan di litar itu bermula pada pukul 9 pagi melibatkan 60 kenderaan pelbagai kategori dan penganjur pertandingan menyewa lokasi perlumbaan sukan bermotor itu daripada syarikat pengendali yang menguruskan tempat berkenaan. – UTUSAN