Sasar 100 peratus pembayaran tanpa tunai menjelang 2030 - Utusan Malaysia

Sasar 100 peratus pembayaran tanpa tunai menjelang 2030

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan 100 peratus pembayaran tanpa tunai akan dapat dicapai di negeri itu menjelang 2030.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif pembayaran tanpa tunai di Pulau Pinang bermula April 2020 di Pasar Awam Taman Tun Sardon yang dipilih menjadi projek perintis pasar awam pertama dengan konsep bayaran tersebut.

”Langkah ini diambil untuk mengurangkan kontak atau sentuhan antara pembeli dan peniaga di pasar-pasar awam akibat penularan wabak Covid-19 ketika itu.

”Berdasarkan maklum balas positif terhadap inisiatif tersebut, satu dasar untuk mewajibkan penggunaan perkhidmatan e-pembayaran sebagai platform terimaan hasil bagi semua jabatan dan agensi kerajaan negeri telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 2 September 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran kempen hari tanpa tunai bagi jabatan dan agensi kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, hasil daripada pelaksanaan dasar tersebut, keseluruhan 23 jabatan pemungut hasil di negeri itu telah menggunakan sekurang-kurangnya satu perkhidmatan e-pembayaran sebagai salah satu medium kutipan hasil.

Tambah beliau, bermula 1 Januari hingga 30 November tahun lalu, kesemua jabatan dan agensi pemungut hasil kerajaan negeri telah berjaya memungut sebanyak 2,110,566 bilangan transaksi e-pembayaran.

”Jumlah ini ialah 71.99 peratus daripada bilangan transaksi keseluruhan manakala nilai kutipan hasil yang diperolehi sepanjang tahun lalu adalah sebanyak RM620 juta iaitu 50.16 peratus daripada keseluruhan nilai kutipan hasil,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, bagi meneruskan agenda transformasi digital di Pulau Pinang, kerajaan negeri akan menggiatkan usaha memperkenalkan inisiatif pembayaran tanpa tunai pada masa terdekat khususnya di tempat-tempat pelancongan utama.

“Antara lokasi yang dipilih ialah di Bukit Bendera dan Batu Feringghi, kawasan perniagaan penjaja gerai PBT, peniaga peruncit, dan kompleks beli-belah.

“Selain itu, kafeteria, kedai dan pasar mini yang beroperasi di dalam syarikat multinasional di Zon Perindustrian Bayan Lepas dan Bayan Baru; dan perniagaan di dalam serta sekitar kawasan Komtar juga akan turut mengaplikasikan pembayaran tanpa tunai,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan perkhidmatan e-pembayaran itu juga akan dapat meningkatkan hasil kutipan kerajaan negeri seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya