Sabar, Pas belum bincang isu PRN - Utusan Malaysia

Sabar, Pas belum bincang isu PRN

MENTERI Besar, Datuk Ahmad Yakob (kanan) menandatangani plak khas sebagai gimik pelancaran buku Nazhafah Diri dan Integriti sambil diperhatikan Mohd. Amar Nik Abdullah pada Majlis Amanat Khas MB Tahun Baru 2023 dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas menegaskan parti itu masih belum mengadakan perbincangan berkait pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri di bawah pentadbiran parti itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, semua pihak diminta bersabar kerana keputusan tersebut tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dan perlu mengambil kira pelbagai perkara.

“Setakat ini belum diadakan sebarang perbincangan berkenaan perkara tersebut dan kita semua perlu bersabar dan menunggu.

“Keputusan untuk menetapkan tarikh pembubaran DUN diserahkan kepada Menteri Besar di sesebuah negeri dan itu menjadi hak istimewa sepertimana pembubaran Parlimen yang dimiliki oleh Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Amanat Khas MB Tahun Baru 2023 dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan memberitahu, sudah menjadi kebiasaan parti tersebut untuk melakukan perubahan atau pertukaran calon-calon yang bertanding pada pilihan raya.

Katanya, pada setiap pilihan raya Pas akan menampilkan 30 peratus muka baharu sebagai calon dan ia mungkin melibatkan gabungan orang muda, wanita dan calon-calon berpengalaman.

“Ia bergantung kepada faktor boleh menang yang dimiliki oleh calon-calon yang diketengahkan oleh parti. Ia merupakan amalan biasa dalam Pas. Jika berlaku pertukaran calon, itu adalah perkara biasa.

“Mengenai khabar angin mengatakan terdapat calon-calon lama berhasrat mengundur diri dan memberi laluan kepada muka baharu, bagi saya ia merupakan perkara biasa dalam Pas,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN