IPOH: Dakwaan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah rizab Melayu di Mukim Jaya Baru dan Sitiawan, dekat sini dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah sudah dalam tindakan kerajaan negeri termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sehubungan itu pihak yang tiada kaitan diminta tidak mempolitikkan perkara itu kerana kerajaan negeri telus menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
Katanya, jika dakwaan tersebut benar dan jika ada salah laku, maka kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Saya sudah menghubungi Pengarah PTG (Pejabat Tanah dan Galian) dan Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai dakwaan tersebut dan mereka mengesahkan perkara itu sudah dalam tindakan jabatan yang berkaitan.
“Memang ada dokumen mengenai dakwaan tersebut dan ia telah pun dalam tindakan. Bermakna sekarang perkara itu dalam tindakan jabatan kerajaan, jadi biar mereka buat kerja, bukannya NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang buat kerja.
“Takkanlah kita setiap hari kena beritahu kepada NGO apa yang kita sudah buat mengenai dakwaan ini, biar agensi kerajaan yang berkenaan mengambil tindakan sepatutnya berhubung dakwaan ini,” katanya ketika dihubungi.
Ditanya sama ada beliau sedia untuk bertemu dengan NGO yang membuat dakwaan itu, Saarani berkata, beliau tidak bercadang berbuat demikian kerana ia sudah pun dalam tindakan jabatan yang berkaitan.
Jelasnya, dakwaan itu juga sudah lama dan tidak perlu dipolitikkan.
“Lagipun laporan mengenainya sudah dibuat kepada SPRM, jadi biarlah SPRM yang masuk dan siasat.
“Tindakan tetap ambil, kalau ada salah laku, kita akan ambil tindakan, tiada masalah. Laporan juga kita bangkitkan dalam mesyuarat dengan jabatan-jabatan berkaitan.
“Setiap aduan kita ambil tindakan, tak ada aduan yang kita tak ambil tindakan atau tidak siasat,” katanya.
Saarani mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai pengurusan tanah rizab Melayu di Perak dikesan kurang cekap sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah rizab Melayu di Mukim Jaya Baru dan Sitiawan dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah.
Aktivis tanah rizab Melayu Perak kecewa kerana tiada sebarang tindakan diambil selepas lebih setahun Jabatan Audit Negara (JAN) mendedahkan isu penyelewengan tanah rizab Melayu di negeri ini.
Hamizura Osman, yang juga ahli pasukan forensik tanah rizab Melayu Perak berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila Kerajaan Negeri Perak enggan memberikan kerjasama dengan pasukannya untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian. – UTUSAN










