Ryan tak mahu layan manusia toksik

Ryan tak mahu layan manusia toksik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIBA-TIBA sahaja namanya meledak di media sosial. Siapa sangka, anak kampung yang dikenali sebagai Ryan Bakery ini berupaya mencipta magis sehingga mampu mencetus fenomena tersendiri.

Menerusi jenaka bersahaja di platform Instagram dan TikTok, bakatnya itu telah memancing penggiat seni arus perdana untuk mengintai peluang bekerjasama.

Kini dilihat sebagai antara pelapis dalam bidang seni, Ryan mengakui, rezeki dan populariti yang diraihnya bagaikan berlaku sekelip mata.

“Masih saya ingat, Jun tahun lalu selepas kena buang kerja, saya yang tiada pendapatan tetap cuba berjinak-jinak buat video komedi di Instagram. Ketika itu, saya berniaga makanan dan buat video untuk menjana pendapatan menggunakan platform itu.

“Bila masukkan video di TikTok, tidak sangka ramai yang ikut. Disember lalu, saya sudah berjaya kumpul sejuta pengikut. Macam tidak percaya pun ada. Rupanya, ramai suka dengan video lucu yang saya kongsikan.

“Mungkin kandungan video itu dekat dengan kehidupan kita semua, sekali gus membuatkan diri lebih bersemangat apabila ramai yang menyokong perkongsian saya,” katanya.

Pun begitu, kata pemuda berusia 28 tahun ini, apabila kini langkahnya berada di gelanggang seni, suka atau tidak, dia akur perlu melihat banyak perkara dari sudut pandangan baharu.

Maklum lebih banyak dugaan dan cabaran bakal datang menerjah, Ryan mengakui, sebolehnya dia enggan membiarkan diri khayal dengan populariti yang mencandukan.

“Sebolehnya, saya mahu menjadi manusia yang berpijak di bumi nyata. Saya bukan berada di sini semata-mata untuk popular. Cuma, mahu jana pendapatan untuk teruskan hidup, itu sahaja. Tetapi, tidak sangka pula, ramai yang ingat saya mahu famous.

“Banyak betul tanggapan begitu, tidak kurang ramai yang mengata. Sampaikan ada yang mendoakan saya tidak akan bertahan lama apabila memasuki dunia seni. Paling tidak best, bila ada yang tuduh saya berangan hanya kerana pakai topi dan pelitup muka bila berada di tempat umum.

“Saya memang suka pakai topi bila keluar. Dengan kes Covid-19 yang masih ada, saya pakai pelitup muka. Ada yang tuduh saya pakai begitu untuk sorok muka kerana sudah famous. Bila masa pula? Ada kala, memang tidak faham dengan manusia begitu,” katanya.

Tambah Ryan lagi, disebabkan begitu banyak tanggapan negatif yang dilemparkan, adakala mewujudkan prasangka dalam dirinya bahawa populariti sebenarnya ada toksiknya.

Malah, dedah Ryan, disebabkan berdepan ‘kejutan’ seperti itu, dia pernah mengalami anxiety atau kerisauan melampau.

“Mula-mula dulu, memang saya kena anxiety. Kadang-kadang, serangan itu datang pada waktu malam dan buat saya susah tidur. Saya terkesan bila baca komen berbaur negatif.

“Bila fikir balik, bukan semua orang suka kita. Lebih baik saya fokus kepada 3.2 juta pengikut yang sokong saya. Buat video lucu untuk mereka. Saya sudah
tidak mahu layan perkara negatif dan manusia toksik. Tiada gunanya, buat sakit kepala sahaja.

“Ada beza antara pengguna di Facebook, Instagram dan TikTok. Cara mereka respons tidak sama, lebih dahsyat di Facebook. Disebabkan itu, saya tidak ada akaun Facebook, cuma ada Instagram dan TikTok,” katanya.

‘Jangan ambil kesempatan’

DALAM pada itu, Ryan turut berkongsi rasa kesal terhadap segelintir pengguna media sosial yang cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan namanya di platform maya.

Jelas Ryan, sejak namanya mula dikenali ramai, muncul beberapa akaun di media sosial yang cuba menyamar menjadi dirinya dan baginya, itu merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Tentunya saya bimbang dengan perkara ini. Macam saya katakan, akaun media sosial yang saya ada cuma Instagram dan TikTok. Tetapi, ada individu tidak bertanggungjawab buat akaun menggunakan nama saya.

“Apa yang tidak seronoknya, mereka menggunakan akaun itu untuk berniaga benda pelik-pelik, termasuk berpolitik. Ramai yang sangka itu akaun saya, walhal tidak. Saya pernah minta pengikut untuk laporkan akaun itu.

“Tetapi masih ada juga yang tidak tahu. Saya risau ada yang terpedaya atau tertipu, apatah lagi jika membabitkan wang ringgit. Kalau setakat akaun kelab peminat, tidak apa. Bimbang jika digunakan untuk menipu.

“Bukan apa, yang terkena fitnah dan ‘sakitnya’ nanti saya sebab kena jawab dan jelaskan kepada semua orang. Jadi, tolonglah jangan ambil kesempatan, bimbang ada yang teraniaya,” katanya.

Jelas Ryan, dia tidak mahu semberono mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

Baginya, selagi boleh diselesaikan dengan cara baik dan berbincang, pendekatan itu dirasakan lebih berhemah.

Namun, seandainya perkara tersebut sudah melampaui batas, dia tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan lanjut.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×