BAGAN DATUK: Kerajaan akan membantu membina rumah baharu untuk kesemua enam penduduk di Jalan Bagan Ikan di sini yang rumah mereka musnah dalam kebakaran minggu lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap mangsa akan mendapat rumah baharu dengan nilai RM66,000 setiap sebuah yang berkeluasan 660 kaki persegi.
“Kita akan buat secepat mungkin. Sebab semua rumah yang terbakar adalah di bawah pendudukan sementara jadi tiada masalah besar untuk kita buat (rumah baharu),” katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi rumah yang terbakar di sini hari ini.
Dalam kejadian Isnin lalu, enam buah rumah di Jalan Bagan Ikan di sini musnah terbakar.
Dalam kejadian sekitar pukul 6.42 pagi itu, seorang lelaki warga emas, Ong Chok Seng, 83, ditemukan maut setelah terperangkap di dalam bilik di rumahnya.
Cucu perempuan mangsa yang berusia 24 tahun mengalami kecederaan pada lutut dipercayai ketika menyelamatkan diri. – UTUSAN










