Rugi hampir setengah juta gara-gara projek rumah terbengkalai - Utusan Malaysia

Rugi hampir setengah juta gara-gara projek rumah terbengkalai

SERAMAI enam pembeli rumah mendakwa kerugian hampir setengah juta ringgit selepas projek perumahan mereka terbengkalai dan gagal disiapkan oleh kontraktor yang sama sejak pertengahan tahun lepas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Seramai enam individu mendakwa mengalami kerugian hampir RM500,000 selepas rumah mereka yang sepatutnya siap mengikut jadual terbengkalai dan tertangguh beberapa kali pembinaannya oleh kontraktor yang sama tanpa alasan munasabah.

Ketika ini, kesemua mereka difahamkan enggan meneruskan projek tersebut kerana terlalu kecewa dan mendesak syarikat kontraktor terbabit yang berpangkalan di Kedah membayar ganti rugi.

Malah, ada yang mengalami tekanan emosi kerana telah berhabis berpuluh ribu ringgit selain terpaksa mengerah kudrat untuk menuntut hak masing-masing.

Salah seorang mangsa, Sakinah Ahmad Sukeri, 33, berkata, mereka pada mulanya tertarik untuk menggunakan khidmat syarikat kontraktor perumahan itu selepas mendapati harga rumah yang diiklankan menerusi laman Facebook adalah mampu milik iaitu serendah RM89,000.

Katanya, semakan lanjut juga mendapati, latar belakang syarikat itu agak meyakinkan kerana memiliki dua pejabat masing-masing terletak di Mergong dan Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun, Sakinah mendakwa, dia hanya menyedari ditipu apabila proses pembinaan menjadi semakin perlahan dan wakil syarikat juga sukar untuk dihubungi.

“Saya sudah bayar empat kali sejak bulan Mac hingga Oktober tahun lepas dan projek yang sepatutnya siap dalam tempoh empat bulan juga tertangguh menjadi lapan bulan dan masih terbengkalai sehingga kini iaitu fasa ketiga.

“Lebih malang, saya juga terpaksa meminjam wang sehingga RM7,000 daripada saudara-mara dan rakan-rakan semata-mata untuk menyiapkan rumah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Sakinah, ketika ini, sebahagian mereka telah memfailkan tuntutan ganti rugi di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan ada yang telah menang manakala sebahagian lagi mungkin membawa kes ke Mahkamah Sivil untuk tuntutan lebih tinggi.

Tambahnya, laporan polis juga telah dibuat dengan mengemukakan beberapa dokumen berkaitan bagi memastikan tidak ada lagi mangsa yang terpedaya dengan syarikat kontraktor pembinaan itu selepas ini.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Shaharudin Mohamed, 61, berkata, dia telah berhabis hampir RM90,000 untuk projek rumah baharunya di Tasek Gelugor dekat sini, namun kecewa kerana hanya siap 30 peratus dalam masa enam bulan.

Pesara kerajaan itu berkata, dia bertindak membatalkan kontraknya dengan syarikat kontraktor terbabit dan mahu menuntut ganti rugi.

“Saya ingatkan dah tua-tua ni bolehlah rehat dengan tenang. Tapi sekarang hari-hari ‘stress’ sebab duit pencen dah habis buat rumah, tapi rumah masih tak siap,” katanya yang kini menyewa sebuah rumah di sini bersama isterinya.

Selain di Pulau Pinang, difahamkan, terdapat beberapa lagi mangsa telah membeli rumah dengan syarikat tersebut di Kedah dan hampir semuanya kini dalam proses perundangan untuk menuntut hak masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.