RoS digesa siasat usul dua jawatan UMNO tidak dipertanding

RoS digesa siasat usul dua jawatan UMNO tidak dipertanding

MUHAMMAD Aizat Fikri Mohd. Nasir (dua dari kanan) dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom (kiri) menunjukkan surat aduan untuk diserahkan kepada RoS berkenaan di Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, dibawa untuk semakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ahli UMNO, Muhammad Aizat Fikri Mohd. Nasir mendakwa, usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.

Menurutnya, usul itu juga bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Persidangan Perhimpunan Agung Perwakilan Bahagian dan Persidangan Cawangan UMNO (Peraturan UMNO).

“Mengikut Perlembagaan UMNO, Fasal 9.3 menyatakan Presiden, Timbalan Presiden hendaklah dipilih Mesyuarat Perwakilan Bahagian tiap-tiap tiga tahun sekali.  

“Selain itu, Peraturan UMNO, Perenggan 10 turut menyatakan semua usul perlu disampaikan selewatnya 14 hari sebelum hari persidangan dan tujuh hari jika diusulkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Jika usul dibuat pada hari persidangan itu sendiri, maka MKT perlu menerangkan bahawa usul tersebut mustahak, atas dasar faedah orang ramai, namun itu tidak berlaku,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada RoS, di sini hari ini.

Katanya, usul tambahan itu bukan atas dasar faedah orang ramai, sebaliknya hanya menguntungkan dua orang sahaja iaitu Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Muhammad Aizat Fikri berkata, RoS mempunyai kuasa untuk tidak meluluskan usul tersebut jika mereka mendapati ada Peraturan Persidangan yang tidak dipatuhi sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya.

“RoS juga mempunyai kuasa melalui Akta Pertubuhan 1966 sebagai pihak yang menyelia semua penubuhan di Malaysia untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada mana-mana penubuhan yang tidak mematuhi perlembagaannya.

“Kami sudah mendapatkan pandangan peguam untuk perkara ini, malah RoS juga memberi jaminan untuk menyiasat dan memanggil pihak berkaitan jika perlu,” katanya.

Jelasnya lagi, dia menggesa suara ahli UMNO yang lain untuk membuat laporan sama kepada RoS sekali gus mengembalikan kuasa memilih kepada akar umbi UMNO di seluruh negara.

Ditanya sama ada dia tidak takut berdepan tindakan tata tertib parti kerana membuat laporan kepada RoS, perkara itu terserah kepada parti.

“Kami tidak ada masalah (berdepan tindakan) kerana kami berjuang untuk perkara yang benar,” katanya.

PAU 2022 baru-baru ini meluluskan usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu dibuat sebelum 19 Mei depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya