Remaja terperangkap tiada unsur jenayah - Utusan Malaysia

Remaja terperangkap tiada unsur jenayah

Remaja terperangkap
TANGKAP layar daripada video yang tersebar dalam media sosial memaparkan seorang remaja lelaki terperangkap dalam sebuah kontena selama enam hari ditemukan dekat dermaga di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, di Klang, Selangor. (Gambar kecil, Cha Hoong Fong)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah berlaku dalam kejadian penemuan seorang remaja lelaki warga Bangladesh dekat dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pulau Indah pada 17 Januari lalu.

Bagaimanapun, memaklumkan kemasukan remaja terbabit ke negara ini adalah secara haram kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis menerima laporan daripada seorang petugas pelabuhan berkenaan dan menyerahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) untuk tindakan lanjut.

“Mangsa telah masuk secara haram ke dalam kontena ketika kapal berlabuh di Chittagong, Bangladesh. Rawatan diberikan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ke atas mangsa dan doktor yang merawat sahkan mangsa dalam keadaan stabil.

“Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan klasifikasi kes sebagai rujuk lain agensi (RLA) yang mana kes dirujuk kepada Imigresen untuk menguruskan dokumen mangsa serta penghantaran pulang dengan menggunakan kapal kargo yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, remaja berkenaan dilaporkan ditemukan terperangkap dalam sebuah kontena kosong yang sedang dipunggah dari kapal dekat Pelabuhan Barat, kira-kira pukul 8 malam, pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, remaja lelaki terbabit ditemukan dalam keadaan selamat selepas seorang pekerja pelabuhan mendakwa terdengar suara ketukan daripada kontena tersebut dekat dermaganya.

Tambah Hoong Fong, siasatan mendapati sebuah kapal Mv. Integra bertolak dari Chittagong Bangladesh pada 12 Januari dengan membawa kontena-kontena yang mengandungi muatan barangan am dan tiba di Pelabuhan Barat.

“Berdasarkan keterangan daripada mangsa menjelaskan semasa bermain bersama kawan di Chittagong, dia masuk ke dalam kontena dan terkunci sehingga dijumpai oleh pihak pengadu di Pelabuhan Barat,” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes-kes jenayah dan meminta pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menyalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33719999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya