Remaja diuji strok perlu RM50,000 untuk rawatan - Utusan Malaysia

Remaja diuji strok perlu RM50,000 untuk rawatan

MUHAMMAD HAZMI Shamsol Kamal yang menderita akibat strok pada usia 15 tahun memerlukan sumbangan orang ramai bagi mengumpul dana sebanyak RM50,000 untuk menjalani rawatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Usianya baru mencapai 15 tahun, namun, pada usia semuda itu, Muhammad Hazmi Shamsol Kamal sudah diuji dengan masalah strok.

Ketika ini, pegawai perubatan yang merawatnya dikatakan masih mengkaji punca sebenar strok yang dihidapi remaja berkenaan.

Difahamkan, sebelum diserang strok minggu lepas, rumah yang didiami Muhammad Hazmi bersama ahli keluarganya yang lain di Nibong Tebal mengalami gangguan elektrik.

Sebaik sahaja bekalan elektrik itu kembali pulih, Muhammad Hazmi bagaimanapun didapati tidak dapat bertutur dengan sempurna selain tidak berupaya untuk bangkit dan kaki serta tangan kanannya juga langsung tidak boleh digerakkan.

Perkara itu disedari adik kembarnya, Muhammad Hazim sebelum bapa mereka, Shamsol Kamal Ismail, 50, bergegas membawa Muhammad Hazmi ke hospital.

Menurut doktor, saluran darah di bahagian otak remaja terbabit telah tersumbat dan satu pembedahan segera atau rawatan ‘trombektomi endovascular’ perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku di bahagian berkenaan.

Bagaimanapun, kos rawatan yang agak mahal iaitu mencecah RM50,000 tidak mampu ditanggung oleh Shamsol Kamal yang hanya melakukan kerja-kerja ‘kampung’ dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Pada masa sama, ibu Muhammad Hazmi iaitu Zaiton Mohamed, 48, tidak bekerja dan Shamsol Kamal juga mempunyai dua lagi tanggungan berusia 23 dan 17 tahun.

Dalam pada itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, keluarga Muhammad Hazmi telah memberi kepercayaan kepada mereka untuk menjalankan kutipan derma awam bagi membiayai kos rawatan berkenaan.

“Jika prosedur ini (rawatan dan pembedahan) tidak dapat dijalankan dengan serta-merta, kemungkinan kandungan oksigen di dalam darah tidak dapat disalurkan kepada seluruh badan.

“Ini seterusnya akan menyebabkan kerosakan sel otak selain melumpuhkan seluruh anggota badan Muhammad Hazmi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank Berhad di nombor 3193433435 atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org selain aplikasi One Hope Charity.

Tanbahnya, sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi talian 016-419 2192, 019-232 2192 atau 04-539 9212. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya