fbpx

Rejimen Askar Wataniah wajar diletakkan dalam status siap siaga

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima sembah mengadap Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW), Leftenan Kolonel Lasahi Laiji di Bilik Persidangan, Galeri Diraja Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN

ARAU : Rejimen Askar Wataniah sebagai sebuah pasukan simpanan tentera darat Malaysia wajar diletakkan dalam status siap siaga dan boleh dimobilisasi apabila diperlukan.

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bagi memastikan konsep membantu-ganti atau ‘augmentation’ itu dapat diimplimentasikan, setiap pegawai dan anggota sukarela Rejimen Askar Wataniah mestilah mempunyai kemahiran ketenteraan yang sejajar dengan angkatan tetap.

“Ia dapat direalisasikan dengan peningkatan keaktifan dalam menjalani latihan ketenteraan dan latihan bersama angkatan tetap melalui konsep afiliasi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW), Leftenan Kolonel Lasahi Laiji bagi membincangkan hala tuju dan perancangan rejimen pada tahun 2023 di Bilik Persidangan, Galeri Diraja Arau di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lasahi juga menyeru anak-anak watan Perlis yang sihat tubuh badan dan memenuhi keperluan minima Tentera Darat Malaysia tampil ke hadapan untuk menyertai rejimen berkenaan.

“Mereka boleh hadir ke Kem Bukit Keteri pada hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8 hingga 11 pagi dan 2 hingga 4 petang untuk mendaftarkan diri dalam Angkatan Sukarela atau mendapatkan maklumat lanjut.

“Pendaftaran dalam Angkatan Sukarela ini amatlah diharapkan untuk sama-sama bertindak sebagai barisan hadapan bagi menghadapi sebarang ancaman kepada negara dari luar dan juga dalam.

“R504AW merancang pelbagai aktiviti kolaborasi bersama dengan agensi-agensi awam dan swasta sepanjang tahun 2023 bagi terus meningkatkan kadar keaktifan para anggotanya,” katanya.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN