Rayuan Wan Ji tangguh April 2023 - Utusan Malaysia

Rayuan Wan Ji tangguh April 2023

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin di Mahkamah Rayuan di sini untuk mengurangkan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah kerana mengeluarkan perkataan menghina Sultan Selangor, lebih sedekad lalu ditangguhkan sekali lagi.

Ia bagi membolehkan peguamnya, Sangeet Kaur yang baharu mengambil alih kes itu daripada peguam, Ramkarpal Singh meneliti dan bersedia untuk mengendalikan kes berkenaan.

Perkara itu disahkan Sangeet ketika dihubungi media hari ini.

Pada 9 Disember lalu, Ramkarpal dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi.

Pada prosiding sebelum ini, prosiding rayuan ditangguhkan ekoran pihak peguam ingin mengemukakan beberapa persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan antaranya sama ada Akta Hasutan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak.

Wan Ji didakwa telah menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada pukul 10 pagi, 5 November 2012.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Dia dituduh pada 10 September 2014 sebelum didapati bersalah di akhir perbicaraan dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018.

Pada 9 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda hukuman tersebut dengan menambah hukuman penjara sembilan bulan itu kepada satu tahun.

Wan Ji kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada tahun sama dan hukuman penjara yang dikenakan terhadap lelaki berkenaan masih tergantung sementara menunggu keputusan rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.