Ramai lelaki tempatan kahwin wanita Vietnam

Ramai lelaki tempatan kahwin wanita Vietnam

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 29,698 rakyat negara ini yang bukan beragama Islam berkahwin dengan warga asing sejak 2018 hingga November lalu dengan wanita Vietnam paling diminati dalam kalangan lelaki tempatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20,273 perkahwinan melibatkan lelaki manakala 9,425 lagi wanita tempatan bersuamikan warga asing.

Katanya, bagi wanita warga asing, lelaki tempatan paling banyak berkahwin dengan rakyat Vietnam iaitu 6,004 orang diikuti China (3,381 orang), Thailand (3,061 orang) dan Indonesia (2,394 orang).

“Bagi lelaki warga asing, seramai 2,697 warga Singapura berkahwin dengan wanita tempatan diikuti India (997 orang), China (958 orang) dan Taiwan (829 orang).

“JPN hanya mendaftar dan merekodkan perkahwinan bukan Islam yang berkahwin di Malaysia atau di Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara manakala bagi perkahwinan orang Islam didaftarkan mengikut pihak berkuasa agama negeri yang terlibat,” katanya di sini.

Ruslin menasihati rakyat negara ini agar tidak mengambil mudah mengenai prosedur pendaftaran perkahwinan terutama mereka yang berkahwin di luar negara.

Beliau menegaskan, sikap sambil lewa dengan melengahkan pendaftaran perkahwinan boleh mengundang masalah terutama membabitkan isu kewarganegaraan anak pada masa akan datang.

Katanya, pemerolehan kewarganegaraan membabitkan beberapa proses terutama pemerolehan melalui kuat kuasa undang-undang atau automatik.

Menurutnya, penentuan taraf kewarganegaraan kanak-kanak adalah berdasarkan kepada taraf kewarganegaraan dan perkahwinan ibu bapa semasa kanak-kanak dilahirkan.

“Jika tiada perkahwinan yang diiktiraf mengikut undang-undang negara ini, kanak-kanak itu secara automatik akan mengikut taraf kewarganegaraan ibu. Jika ibunya bertaraf bukan warganegara maka anak itu bertaraf bukan warganegara.

“Oleh itu, pasangan bukan Islam yang berkahwin di luar negara perlu mendaftar semula perkahwinan di pejabat perwakilan Malaysia di luar negara atau mendaftar semula di Malaysia. Bagi pasangan beragama Islam perlu merujuk ke pihak berkuasa agama negeri,” ujarnya.

Jelas Ruslin, kesan utama yang boleh berlaku sekiranya perkahwinan orang Islam di luar negara tidak didaftarkan di Malaysia apabila anak yang lahir hasil dari perkahwinan tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa sebaliknya berbinkan Abdullah atau 99 nama Allah semasa pendaftaran kelahiran di JPN. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN