Rakyat lega BNM kekalkan OPR pada 2.75%

Rakyat lega BNM kekalkan OPR pada 2.75%

OPR semasa berada pada 3.0 peratus sejak dinaikkan kali terakhir pada Mei 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) kali pertama bagi tahun ini meleset apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengekalan OPR pada 2.75 peratus, semalam.

Ia sekali gus menamatkan kenaikan berturut-turut sebanyak empat kali tahun lalu daripada paras rekod terendah pada 1.75 peratus sebelum ini.

BNM berkata, keputusan mengekalkan OPR membolehkan MPC menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa (lag effect) dasar monetari terhadap ekonomi.

Ujarnya, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar mo­netari kekal menyokong pertumbuhan eko­nomi.

“Langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap soko­ngan dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan,” katanya dalam kenyataan.

Bank pusat itu berkata, ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang kekal tinggi, kadar faedah yang lebih tinggi serta gangguan berkaitan Covid-19 di China.

Jelasnya, kesan faktor-faktor itu melebihi kesan sokongan da­ripada keadaan pasaran pekerja yang positif dan pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa.

“Inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini namun, inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.

“Bagi menguruskan tekanan inflasi, bank-bank pusat dijang­ka terus menaikkan kadar faedah, meskipun pada kadar yang lebih perlahan. Tindakan ini akan menyebabkan prospek pertumbuhan global terus menghadapi rintangan.

“Prospek pertumbuhan te­rus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, termasuk ketega­ngan geopolitik yang semakin meruncing, pertumbuhan sebenar di ekonomi utama yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewa­ngan yang menjadi ketat secara ketara,” katanya.

Keputusan MPC BNM itu melegakan rakyat khususnya peminjam sekaligus mengurangkan bebanan kewangan mereka yang sedia ada terjejas dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Presiden Gabungan Persa­tuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Datuk Dr. N. Marimuthu berkata, keputusan itu memberi ruang kepada rakyat untuk ‘bernafas’ apabila tidak perlu menanggung satu lagi kenaikan bayaran balik hutang bank.

“Keputusan BNM kekalkan OPR memang kami sambut baik. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rak­yat,” katanya di sini semalam.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif pula berkata, tindakan mengekalkan kadar OPR itu menunjukkan kepekaan kerajaan terhadap masalah yang membelenggu rakyat.

“Nampaknya usaha semua pihak mendesak kerajaan agar tidak menaikkan OPR akhirnya membuahkan hasil dan dide­ngari BNM,” katanya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, langkah BNM kekalkan kadar OPR pada 2.75 peratus adalah keputusan terbaik buat masa ini.

Katanya, ini kerana dasar monetari tersebut juga harus diselaraskan dengan dasar fiskal yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir Februari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN