Polis tahan lelaki warga asing, rampas 221 kg ganja - Utusan Malaysia

Polis tahan lelaki warga asing, rampas 221 kg ganja

WAN Kamarul Azran Wan Yusof (tengah) menunjukkan ketulan mampat disyaki ganja yang dirampas selepas sidang media KPD Sepang berkaitan tangkapan kes Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah di IPD Sepang. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah jenis ganja seberat 221.26 kilogram menerusi serbuan di sebuah kondominum di Bandar Sierra 16, Puchong dekat sini, 15 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sepang sekitar pukul 10.10 malam hasil maklumat pengedaran pengedaran dadah yang diterima.

Menurutnya, pemeriksaan di kondominium berkenaan menemui tiga plastik lutsinar mengandungi leraian daun kering, empat peket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat serta dua ketulan mampat dibalut alumunium foil yang kesemuanya disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 2.1 kilogram.

“Lanjutan daripada tangkapan lelaki warga asing dari negara Timur Tengah berusia 23 tahun itu, pihak polis kemudiannya turut merampas 213 ketulan mampat dedaun kering yang berbalut disyaki ganja dengan anggaran berat 219.16 kilogram di dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang diletakkan di parkir kondominium itu.

“Keseluruhan dadah yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM663,798 dan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek terbabit positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan THC.

Jelasnya, siasatan lanjut mendapati suspek merupakan seorang bekas pelajar kolej swasta di negara ini di antara tahun 2018 hingga 2020, sebelum pulang ke negara asal dan kembali menggunakan visa pelancong yang telah tamat tempoh pada 17 Januari lalu.

“Kita sedang memburu seorang lagi suspek yang merupakan rakan senegara yang disyaki bersubahat dalam kegiatan pengedaran dadah ini yang dipercayai masih berada di negara ini,” katanya.

Tambahnya lagi, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin lalu di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta jenis Chevrolet Optra dengan anggaran nilai RM7,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya