Polis patahkan cubaan sindiket pemerdagangan manusia - Utusan Malaysia

Polis patahkan cubaan sindiket pemerdagangan manusia

MOHD. Shokri Abdullah menunjukkan barangan rampasan menerusi penahanan sebuah kereta jenis Perodua Aruz yang didakwa terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di IPD Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Polis berjaya mematahkan sindiket pemerdagangan manusia dengan menahan sembilan individu termasuk dalang menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di sekitar Jalan Sena, Titi Tinggi, Sabtu lalu.

Pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Perodua Aruz itu dilakukan sekitar pukul 11 malam oleh Kompeni D Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas kenderaan itu didapati dipandu secara mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pihaknya mendapati kereta itu dipandu oleh seorang lelaki warga asing manakala isterinya yang merupakan warga tempatan berada di tempat duduk penumpang bahagian hadapan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menemukan dua perempuan dan tiga lelaki warga asing dari negara jiran di bahagian tempat duduk belakang.

“Malah, hasil pemeriksan pasport semua suspek terlibat didapati mencurigakan dan disyaki palsu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta itu mendakwa telah diarahkan oleh ibu saudaranya yang dikenali sebagai ‘Nor Yang’ untuk mengambil penumpang berkenaan di Padang Besar untuk dihantar ke Stesen Bas Kangar.

Mohd Shokri berkata, warga asing terlibat yang berusia 26 hingga 51 tahun itu juga memaklumkan akan dibawa menaiki bas ke Kuala Lumpur untuk bekerja dalam pelbagai sektor yang telah diuruskan oleh ejen di sana.

“Menerusi penahanan itu, polis turut merampas sebuah kereta, dua telefon bimbit bersama tiga keping kad sim, enam buah posport dan 52 keping wang tunai berjumlah RM1,702,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shokri berkata, pihaknya turut melakukan tangkapan susulan dipercayai dalang sindiket ini menerusi penahanan seorang lelaki dan wanita warga asing di sebuah rumah di negeri jiran semalam.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat Seksyen 26A ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua suspek ditahan selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi siasatan lanjut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya