Polis kesan pemilik akaun media sosial dakwa ceroboh Menara Merdeka

Polis kesan pemilik akaun media sosial dakwa ceroboh Menara Merdeka

KERATAN laporan Utusan Online.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang memuat naik hantaran mengenai pencerobohan Menara Merdeka 118.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah memohon profiling kepada  SKMM mengenai butiran individu dalam video yang dimuat naik di laman sosial pada 31 Disember lalu.

Katanya, hantaran dalam media sosial itu perlu disahkan terlebih dahulu sama ada ia milik pasangan warga Rusia yang mendakwa memanjat menara tersebut.

“Kita perlu mendapat laporan daripada SKMM dahulu mengenai butiran akaun media sosial tersebut sama ada ia milik warga Rusia atau sebaliknya.

“Setelah laporan ini diperoleh, ia dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengetahui sama ada terdapat rekod keluar dan masuk oleh warga Rusia terbabit. Kita juga akan menjalankan analisis forensik terhadap video (tular) itu,” katanya di sini hari ini. 

Noor Dellhan berkata, setakat ini polis merekodkan sembilan keterangan individu termasuk pengurusan menara tersebut.

Terdahulu, seorang wanita warga Rusia mendedahkan perbuatan menceroboh Menara Merdeka 118 dengan memanjat ke puncak pencakar langit berkenaan baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di akaun Twitter, wanita yang dikenali sebagai Angela Nikolau itu menceritakan perjalanan dari awal bagaimana dia dapat memasuki menara itu tanpa disedari oleh mana-mana pihak.

Dakwanya, dia menyewa sebuah apartmen dengan pemandangan menara yang bagus supaya boleh menjalankan pengawasan dan pemerhatian terhadap bangunan berkenaan sebelum memasukinya.

Angela menceritakan misinya dimulakan dengan melakukan penyamaran iaitu memakai tudung, cermin mata dan seragam pekerja bangunan untuk memastikan identitinya tidak dikesan sebaik mungkin.

“Saya berlari ke 32 tingkat pertama dan berada dalam keadaan terlalu panas dan terpaksa baring di atas lantai konkrit dalam keadaan tidak berpakaian untuk menyejukkan diri sedikit dan minum semua air yang ada,” katanya.

Dia juga menceritakan detik cemas apabila dikesan ketika sedang berehat dan berlindung dalam kotak konkrit kecil di mana saya tidak dapat meregangkan kaki dan perlu menghabiskan lebih dari 20 jam dalam kotak tersebut.

Angela turut berkongsi keadaan dirinya pada 25 jam kemudian dengan tidak mempunyai makanan dan air selain tidak tidur.

“Saya tidak dapat meregangkan kaki dan seluruh badan kaku dan sakit. Saya tidak boleh menangis pun kerana pekerja berada berhampiran.

“Mereka boleh mendengar tangisan saya dan serahkan saya kepada pihak keselamatan. Ia adalah masa paling teruk dalam hidup saya,” ujarnya.

Polis sebelum itu menerima satu laporan dari pihak Menara Merdeka 118 yang dibuat di Balai Polis Tun H S Lee, pada 29 Disember lepas.

Disember lalu, tular gambar pasangan warga Rusia itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN