‘Pinda perlembagaan halang pertandingan jawatan utama rekaan lawan’

‘Pinda perlembagaan halang pertandingan jawatan utama rekaan lawan’

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cakap-cakap kononnya UMNO dijangka meminda perlembagaan parti bagi mengelak dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden dipertanding, didakwa rekaan parti lawan yang bertujuan memecahbelahkan kepemimpinan UMNO. 

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, ini kerana jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO masih boleh ditandingi mana-mana individu yang berhasrat merebut jawatan utama itu. 

Beliau berkata, parti itu tidak pernah meminda perlembagaannya untuk menghalang dua jawatan berkenaan dipertanding atau tidak boleh dicabar dalam pemilihan nanti. 

 “Dalam UMNO, kita tak boleh halang orang mahu bertanding tanpa pinda perlembagaan. Sebab itu, kalau kita pinda perlembagaan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding, semua orang akan marah. 

“Akar umbi akan marah. Marah siapa? Marah Presiden dan Timbalan Presidenlah. Marah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan sebab tamak sangat kuasa. 

“Kita pun tahu, (individu)  nombor satu (Presiden) dan nombor dua (Timbalan Presiden) pun tahu hal ini. Kita bukan bodoh sangat,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan di Facebooknya. 

Mengulas lanjut, Isham mendakwa, apa yang lebih mengecewakan apabila naratif itu disambut beberapa pemimpin dalam parti itu sendiri, terutama mereka yang cenderung untuk membentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) serta Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

“Kita mahu kekal nak pulih parti atau kita nak angkat orang (pemimpin UMNO yang) sokong Muhyiddin dan PN. Kalau mereka tukar kepemimpinan di atas, mereka bertanding (dan menang), runtuh kerajaan. 

“Sebab mereka mahu bawa kita ke PN. Salah satu cara untuk jatuhkan kerajaan sekarang, dia kena tukar pembuat keputusan di atas. Dia kena tukar nombor satu dan dua parti. 

“Kalau dia tukar nombor satu dan dua, dia boleh tukar 30 Ahli Parlimen ini dibawa ke sana. So, bila ke sana, kerajaan kita runtuh. Kita akan kembali ke era Langkah Sheraton,” katanya. 

Sehubungan itu, Isham menjelaskan, isu jawatan utama tidak dipertanding pada pemilihan kali ini tidak timbul berikutan kuasa memilih kepemimpinan UMNO baharu kelak terletak kepada mandat ahli parti yang memilihnya nanti. 

“Keputusan di tangan ahli. Tarikh terakhir untuk kita buat pemilihan pada 19 Mei 2023. Jadi, maksudnya kita ada empat bulan untuk pemilihan peringkat cawangan, bahagian sampailah ke atas,” jelasnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.