IPOH: Pakatan Harapan (PH) sedia mempertimbangkan penyertaan pemimpin dan ahli UMNO yang dipecat untuk menyertai komponen gabungan itu.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimana pun penyertaan mereka itu perlu mendapat pandangan daripada pemimpin parti komponen PH masing-masing terlebih dahulu.
Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang permintaan daripada pemimpin dan ahli UMNO yang telah dipecat untuk menyertai komponen PH.
“Saya sudah lama tinggalkan UMNO dan itu (memecat pemimpin UMNO) adalah keputusan dalaman parti itu, keputusan lembaga disiplin.
“(Setakat ini) Tak ada timbul lagi sebarang permintaan untuk bersama (PH) dan jika ada, kita akan teliti dan tentunya kita akan mendapatkan pandangan kepimpinan lain demi menjaga kedamaian dan Kerajaan Perpaduan. (Jika ada permohonan) kita beri pertimbangan yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru di sini hari ini.
UMNO telah memecat bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang. – UTUSAN