Peruntukan RM1 bilion beri implikasi positif

Peruntukan RM1 bilion beri implikasi positif terhadap ekonomi Sabah, Sarawak

NORAZLINAH ARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kelulusan peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf prasarana sempadan Sabah dan Sarawak dijangka memberi implikasi positif terhadap perkembangan ekonomi dan sosial masyarakat di kedua-dua wilayah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif berkata, usaha itu juga dilihat dapat memperkukuhkan lagi keselamatan rakyat yang berada di sempadan Malaysia dan Kalimantan yang akan menjadi ibu kota baharu Indonesia.

Ketua Wanita Parti Warisan (Warisan) itu berkata, perkara berkaitan infrastruktur sempadan merupakan isu utama yang menjadi kebimbangan masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pembangunan pusat pentadbiran baharu Indonesia di Kalimantan membabitkan kos RM135 bilion itu akan membantu merancakkan lagi ekonomi di pinggir sempadan Sabah dan Sarawak.

Namun, pada masa sama, sempadan negara turut diancam pelbagai risiko ekonomi serta sosial.

Menurut beliau, penyeludupan haram, pemerdagagan manusia dan pelbagai ancaman lain akan turut dihadapi susulan pembangunan ekonomi yang pesat dan dikhuatiri akan memberi kesan negatif terhadap masyarakat setempat.

Justeru, pembangunan infrastruktur persempadanan yang lebih efisien menerusi peruntukan RM1 bilion itu diharap dapat mengawal risiko berkenaan.

Kelulusan peruntukan menaiktaraf prasarana sempadan Sabah dan Sarawak itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan kerja di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Tambah beliau, usaha untuk mewartakan Sabah dan Sarawak sebagai Wilayah juga menguatkan lagi persepsi dan sokongan rakyat di kedua-dua negeri terhadap ideologi pentadbiran Malaysia Madani.

Di samping itu, Norazlinah juga mahu kerajaan Persekutuan memberi perhatian kepada isu pencerobohan asing di pesisiran pantai Sabah dan Sarawak di sekitar Laut China Selatan.

“Lebih 89 kali kapal perang China dilaporkan memasuki kawasan perairan Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan hampir tiada kawalan serta tindakan proaktif dari Kementerian Pertahanan atau pun Kementerian Luar Negeri.

“Ini memberikan kesan negatif kepada industri minyak mentah dan gas, industri perikanan serta industri pelancongan di Sabah dan Sarawak.

“Bukan sekali dua kapal Pengawal Pantai China bertindak mencerobohi kawasan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) di Sabah, mengancam operasi carigali minyak dan gas oleh Petronas di kawasan itu,” katanya.

Jelas beliau, siri pencerobohan China itu juga sudah banyak lagi berlaku maka, sudah tiba masanya untuk kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar memberi perhatian serius untuk mempertahankan kedaulatan negara serta keselamatan pesisir pantai Sabah dan Sarawak dari sebarang ancaman asing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya