Perkhidmatan pas sempadan dihenti sementara di UTC dan Imigresen Kulim

Perkhidmatan pas sempadan dihenti sementara di UTC dan Imigresen Kulim

MOHD. RIDZZUAN MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perkhidmatan menyediakan pas sempadan di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Kulim serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar dan Sungai Petani dihentikan sementara berikutan kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilaksanakan. 

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, pihaknya sedang melakukan transformasi berkaitan beberapa perkara termasuk sistem penyampaian bagi memastikan khidmat lebih baik dapat diberikan kepada masyarakat pada masa depan. 

Justeru katanya, orang ramai yang berhasrat untuk membuat pas sempadan boleh berbuat demikian di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap dan ICQS Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu. 

“Situasi ini hanya bersifat sementara untuk kami melaksanakan penyelenggaraan dari aspek fizikal dan logistik dalam memberi perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.

“Hanya khidmat pas sempadan saja yang dihentikan sementara di ketiga-tiga lokasi itu. Lain-lain perkhidmatan termasuk berkaitan urusan pasport berjalan seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar di Anak Bukit hari ini.

Tambahnya, maklumat berhubung pembukaan semula perkhidmatan penyediaan pas sempadan tersebut akan dimaklumkan semula kepada orang ramai selepas ini.  

Sementara itu, Mohd. Ridzzuan berkata, pihaknya turut mengambil maklum mengenai aduan orang ramai terutamanya di media sosial berkaitan kesesakan di Pejabat JIM Kulim termasuk mendakwa terpaksa beratur seawal lima pagi bagi mengelak beratur panjang. 

Katanya, cawangan tersebut sememangnya menjadi tumpuan ramai memandangkan lokasinya yang terletak berhampiran sempadan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

“Kami akan tempatkan lebih ramai pegawai dan anggota bagi membantu mengurangkan kesesakan. Mereka akan diberikan peranan termasuk menyemak sama ada dokumen dibawa orang ramai mencukupi atau tidak sejak dari awal orang ramai beratur, agar tidak berlaku kesesakan di kaunter. 

“Selain itu pejabat cawangan itu akan turut beroperasi pada hujung minggu bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah hari. Bagi hari-hari biasa pula, waktu kerja turut dipanjangkan daripada 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini kepada 8 pagi hingga 7 petang sejak kelmarin,” katanya. 

Beliau berkata, inisiatif lain yang diambil bagi mengurangkan kesesakan adalah mana-mana individu yang sekadar mahu mengutip pasport setelah permohonan diluluskan, tidak perlu lagi beratur dan mengambil nombor giliran. 

“Mereka boleh terus ke kaunter untuk mengambil pasport masing-masing. Kita akan menambah petugas untuk membantu golongan ini terus ke kaunter serahan tanpa perlu beratur atau mengambil nombor,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya