KOTA KINABALU: Hanya sehari selepas mengumumkan keputusan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan daripada Datuk Seri Hajiji Noor, Bung Moktar dilihat mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur semalam.
Dalam Facebook rasminya, Bung Moktar yang mengetuai rombongan BN Sabah mengadakan perbincangan dengan Presiden UMNO itu bagi memaklumkan dan memberi penjelasan mengenai isu pergolakan politik Sabah.
“Setiap yang bermula pasti akan ada pengakhirannya. Perjuangan baru bermula dan perjalanan masih jauh dan panjang,” katanya ringkas menerusi Facebook.
Ketua Menteri Sabah dikatakan telah mengemukakan senarai Jemaah Kabinet kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dalam pertemuan hampir sejam semalam.
Istiadat mengangkat sumpah anggota Kabinet Negeri yang baharu dijangka akan diadakan esok.
Walau bagaimanapun setakat ini, masih belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri mengenai istiadat berkenaan. – UTUSAN