Pengarah, pemilik syarikat direman buat tuntutan palsu - Utusan Malaysia

Pengarah, pemilik syarikat direman buat tuntutan palsu

DUA individu direman empat hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran penternakan lembu tenusu pada 2015.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim di Mahkamah Alor Setar di sini hari ini.

Kedua-dua individu berkenaan terdiri daripada pengarah dan pemilik dua syarikat berbeza ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di dua lokasi berasingan semalam.

Suspek pertama yang merupakan pengarah syarikat berusia 51 tahun, ditahan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 1 petang manakala pemilik syarikat berusia 52 tahun ditahan di Simpang Renggam, Johor dua jam kemudian.

Kedua-dua mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar menaiki kenderaan SPRM kira-kira pukul 10 pagi ini dengan memakai baju lokap SPRM.

Penahanan mereka susulan siasatan SPRM terhadap beberapa syarikat yang disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan berkaitan insentif di bawah program projek permulaan (EPP) 13 Kluster Tenusu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM20.3 juta.

Bagaimanapun tiada sebarang pembekalan dilaksanakan walaupun tuntutan dibuat.

Sumber memaklumkan, ketika ini SPRM masih giat mengesan saksi dan mengambil keterangan individu lain yang dipercayai boleh membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan namun enggan mengulas lanjut dan memaklumkan kes masih disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.