IPOH: Perdana Menteri mengingatkan para pemimpin supaya tidak melupakan rakyat khususnya golongan yang susah ketika mereka mempunyai kuasa kedudukan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terinspirasi dengan lagu Tamil kegemarannya iaitu Naan Aanaiyittal yang dinyanyikan artis terkenal India, MG Ramachandran (MGR) kerana lagu itu mengajarnya agar tidak lupa tanggungjawab terhadap rakyat.
Menurutnya, lagu itu mengajar apabila menjadi ketua jangan lupakan orang susah dan jangan sampai golongan itu mengalirkan air mata akibat kesusahan yang mereka lalui.
“Saya selalu ingatkan kepada kawan-kawan, kalau ada kuasa gunakan untuk rakyat kerana negeri ini kaya, hasilnya banyak, tapi kenapa yang kaya makin kaya, yang miskin ramai.
“Sebabnya wang yang ada, kontraklah, projeklah dicuri. Saya guna kuasa untuk selamatkan negara. Jangan ada yang mencuri sebaliknya bagi bantuan balik kepada rakyat.
“Yang penting sekali negeri ini mesti diselamatkan, selamat daripada orang orang besar yang mencuri duit rakyat. Kalau ini kita boleh selamatkan, wang yang ada kita boleh pulangkan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sambutan Hari Ponggal 2023 Peringkat Parlimen Tambun di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Klebang, Chemor di sini semalam yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.
Sementara itu Anwar berkata, tiada mana-mana pihak beroleh keuntungan jika termakan dengan hasutan pemimpin politik tertentu agar masyarakat berbilang kaum di negara ini saling bertelagah.
Menurutnya, mereka yang berada ‘di atas’ hanya menyuruh agar pergaduhan antara kaum dicetuskan namun ‘mangsa’ yang melaksanakan pergaduhan itu adalah rakyat atau mereka yang berada di bawah.
“Apabila kita gaduh di antara kita, antara kaum, siapa yang untung? Yang gaduh orang bawah, yang suruh gaduh orang politik di atas.
“Sebab itu saya minta kawan-kawan Melayu datang raikan (Pesta Ponggal). Ini bukan upacara agama, ini pesta menuai.
“Di India, saya tengok kawan-kawan saya baik yang beragama Hindu, baik yang Muslim, sama-sama dalam pesta ini kerana tanda syukur mereka atas hasil yang baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, dalam tempoh sebulan setengah, beliau melihat pelabur asing termasuk dari China, India, Amerika Syarikat serta Eropah sudah menunjukkan minat melabur di negara ini.
“Ini untuk apa jika bukan untuk menyelamatkan rakyat, memberi peluang pekerjaan dan pendapatan yang baik,” katanya. – UTUSAN










