Pemilik syarikat elektronik didakwa lagi - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat elektronik didakwa lagi

Pemilik didakwa
RAYMOND didakwa di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 berjumlah RM87,500, dua tahun lalu, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemilik syarikat barangan elektrik dan elektronik mengaku tidak bersalah membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM87,500, di Mahkamah Sesyen hari ini.

Tertuduh, Raymond Sim, 35 membuat pengakuan demikian di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan berkaitan tuntutan insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 dibacakan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, bapa seorang anak itu didakwa mengemukakan tuntutan palsu bagi menuntut insentif bagi dua siri Program Penjana Kerjaya kepada tiga pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso bagi nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja Minbot Sdn. Bhd. miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di dua cawangan pejabat Perkeso iaitu di Petaling Jaya dan Klang antara 9 Mac hingga 11 November 2021. 

Justeru, Raymond didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama iaitu penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Alif Shaharuzaman menawarkan jaminan RM50,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM berhampiran.

Selain itu, Mohd. Alif turut memohon supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama empat pertuduhan dihadapi di mahkamah tersebut.

Peguam Reuben Ong mewakili tertuduh memohon jaminan rendah sebanyak RM7,000 susulan anak guamnya perlu menanggung kos operasi anaknya berusia tujuh bulan yang tidak sihat.

“Gaji anak guam saya berjumlah RM5,700 manakala kos perubatan anak adalah RM4,900 dengan memerlukan penjagaan rapi. Anak guam juga sebelum ini dijamin sebanyak RM30,000 bagi pertuduhan dihadapi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Januari lalu,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 bersama penjamin dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan termasuk pemindahan kes tersebut dan menetapkan sebutan semula pada 28 Februari.

Raymond sebelum ini dilaporkan mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan memberikan borang pengesahan melalui seorang wanita kepada pegawai Perkeso bagi menuntut insentif berjumlah RM153,200 di hadapan Hakim Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya