Pemakaian semula pelitup muka jika kes Covid-19 meningkat - Utusan Malaysia

Pemakaian semula pelitup muka jika kes Covid-19 meningkat

RAJA Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Perumahan Lahat Eco-City di Ipoh hari ini. UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri sedia untuk mewajibkan pemakaian semula pelitup muka di tempat awam sekiranya keadaan memerlukan susulan penularan kes Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, namun perkara itu bergantung kepada perkembangan semasa kesihatan dan keselamatan serta keseriusan jumlah kes yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kalau keadaan memerlukannya, saya akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan negeri. Kita akan buat penilaian berasaskan kepada laporan yang dibuat oleh pengarah kesihatan negeri.

“Nanti kita lihatlah ada keperluan atau pun tidak, jika ada sudah tentu kita kena mengambil langkah-langkah yang perlu bagi keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis pecah tanah Projek Perumahan Lahat Eco City di sini hari ini. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Mohamed Akmal Dahalan.

Menurut Saarani, berdasarkan laporan kes harian Covid-19, belum ada keperluan mendesak untuk mewajibkan pelitup muka di negeri ini.

“Keadaan sekarang tidaklah mendesak, tetapi nanti jika perlu pakai maka kita akan pakai (wajibkan),” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, keajaan negeri telah menamatkan perkhidmatan kesemua pemegang jawatan Ahli Majlis dan ketua-ketua kampung pada 31 Disember lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang dalam proses untuk memilih orang baharu bagi mengisi kekosongan tersebut.

“Kita telah pun mengeluarkan pekeliling iaitu semua pemegang jawatan Ahli Majlis Bandaran termasuk Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Majlis Daerah serta ketua-ketua kampung telah pun ditamatkan perkhidmatan mereka pada 31 Disember lalu.

“Ahli Majlis adalah wakil-wakil parti pemerintah, jadi kita kena duduk semeja untuk mencapai persetujuan bagi melantik wakil-wakil parti pemerintah di semua 15 pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Menurutnya, bagi peringkat ketua kampung, pihaknya sedang menunggu format yang akan diluluskan di peringkat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Ketua kampung pun sama, kita tunggu format yang akan diluluskan KKDW. Mereka di peringkat kementerian sedang menyusun format ketua kampung.

“Apabila kita dapat format itu, kita akan melakukan proses untuk memilih dan menamakan ketua-ketua kampung baharu bagi peringkat negeri Perak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.