KOTA KINABALU: Pelantikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dalam Kabinet negeri yang baharu melengkapkan formula pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah.
Sebelum ini, PH Sabah adalah pembangkang namun kini menjadi sebahagian daripada ahli Jemaah Kabinet Negeri.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya yang turut mengangkat sumpah jawatan hari ini selepas menggantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, rombakan Kabinet itu menyaksikan tiga muka baharu dilantik sebagai menteri iaitu dua ADUN PH dan satu daripada Barisan Nasional (BN).
Tiga lantikan baharu yang dilantik ialah Datuk James Ratib (BN-Sugut), Datuk Christina Liew (PKR-Api Api) dan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang).
“Sudah tentu Parti Warisan dan satu kumpulan yang telah adakan penentangan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, itu memang kita telah persetujui bersama, kita tidak akan terima mereka.
“Maka, mereka perlu terima hakikat dan ‘cooling off’ jadilah pembangkang yang membina dan sama-sama kita tumpukan urusan membangunkan negeri Sabah dahulu.
“Apabila tiba masanya, penggal ini tamat jadi kita kembalikan mandat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di pintu masuk Istana Negeri semalam.
Beliau berkata, majlis angkat sumpah itu hanya membabitkan tiga lantikan menteri baharu, yang lain hanya terlibat dalam rombakan Kabinet malah, mereka telah mengangkat sumpah pada tahun 2020.
Shahemley, yang juga Menteri Kerja Raya berkata, lantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan pertukaran portfolio kepada Kementerian Kerja Raya itu adalah satu tugasan yang lebih berat.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya ini merupakan satu kementerian yang besar dan mempunyai banyak isu yang perlu ditangani dan diselesaikan segera seperti isu jalan raya dan bekalan air.
Menurut beliau lagi, rombakan yang berlaku ini sepatutnya meredakan keadaan bagi membolehkan mereka fokus untuk bekerja dalam tempoh yang akan berakhir dalam tempoh dua tahun lebih ini.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)/UMNO itu berkata, beliau masih ahli UMNO dan belum ada sebarang khabar daripada pihak kepimpinan UMNO.
Katanya, semasa pertemuan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, beliau ada berjumpa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebentar dan sekadar bersalaman, tidak sempat berbual.
Mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Shahelmey berkata, beliau bukan delegasi untuk PAU lagipun, beliau dilantik dalam portfolio baharu jadi, beliau mahu beri tumpuan kepada tugasnya. – UTUSAN










