Pelajar pendidikan khas jual donut cari duit poket

Pelajar pendidikan khas jual donut cari duit poket

MUHAMMAD Farish Ikhwan Abd. Razak menunjukkan donut yang dijualnya di Kampung Menerong, Ajil, Hulu Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong di sini, memanfaatkan cuti sekolah dan hujung minggu berniaga donut yang dihasilkannya sendiri.

Kesungguhan Muhammad Farish Ikhwan Abd. Razak,18, dari Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, Ajil, di sini, membuahkan hasil apabila jualannya mampu mencecah ratusan ringgit sehari.

Katanya, dia mula berniaga donut di kaki lima jalan di sini pada November lalu sekali gus manfaatkan ilmu kemahiran vokasional spesifik pembuatan roti dipelajarinya di SMK Menerong untuk mencari wang sebagai ‘duit poket’.

“Saya dapati menjual di kaki lima jalan menyeronokkan dan ia menimbulkan keinginan dalam diri untuk meneruskannya. Memandangkan masih belajar, saya hanya berniaga pada cuti sekolah serta hujung minggu.

“Sebelum ini, bermula tahun 2020, saya jual tart telur secara pembayaran tunai semasa serahan (COD). Gunakan wang simpanan RM300, saya jadikan modal beli kanopi serta peralatan lain untuk berniaga donut di sini.

“Saya tidak kisah perlu bangun seawal pukul 3 atau 4 pagi pada hari berniaga untuk sediakan donut menggunakan antara tiga hingga empat kilogram tepung gandum. Semuanya dilakukan seorang diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, pelbagai jenis donut dihasilkan iaitu donut susu, donut red velvet, donut pandan yang dijual RM1 sebiji manakala donut gula RM2 untuk tiga biji.

“Tempat berniaga tidak jauh dari rumah, biasanya mula berniaga pukul 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari atau habis donut. Seronok berniaga, kawan-kawan serta orang kampung datang beli, hasil jualan boleh cecah hingga RM160.

“Saya juga promosi melalui laman sosial seperti Facebook dan TikTok. Impian selepas ini untuk buka sebuah kedai berasaskan makanan pula, saya ada tempoh dua tahun lagi belajar di sekolah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.