PBM seluruh negara distruktur semula 

PBM seluruh negara distruktur semula 

LARRY SNG WEI SHIEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) di peringkat negeri-negeri kini dalam proses penstrukturan semula, tidak lama selepas dua bahagiannya di Semenanjung mengumumkan pembubaran jawatan kuasa.

Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, PBM bahagian Kelantan dan Terengganu telah  distruktur semula manakala pengerusi yang baharu dilantik dihantar kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri secara bertulis.

“PBM Sarawak kekal utuh. Negeri lain seperti Pulau Pinang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sabah dan hendaklah terlibat serta disusun semula dengan sewajarnya selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

“Bagi bahagian baharu yang sebelum ini ditubuhkan, tetapi telah luput dalam penyerahan minit mesyuarat mereka, bahagian tersebut tidak akan diaktifkan semula buat masa ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Julau itu berkata, sebarang pembubaran bahagian hanya boleh dilakukan oleh ibu pejabat PBM selepas berunding dengan pihak yang terlibat, walaupun Pahang dan Selayang baru-baru ini membubarkan bahagiannya.

“Bagi parti, bahagian-bahagian yang telah didaftarkan itu akan kekalkan sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Khamis lalu, PBM bahagian Selayang dibubarkan selepas ahlinya dikatakan hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Wei Shien.

Ketua PBM bahagiannya, JC Jess Choy dalam satu kenyataan berkata, Wei Shien mungkir janji untuk memberi laluan kepada pengasasnya, Datuk Zuraida Kamaruddin memimpin parti.

Sebelum ini, PBM Pahang turut membubarkan jawatan kuasa negeri dan lapan bahagian yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Zuraida adalah bekas Naib Presiden PKR dan salah seorang ahli Parlimen yang terlibat dalam Langkah Sheraton 2020 sehingga menyebabkan kerajaan PH ketika itu tumbang.

Perjalanan politiknya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan beliau telah melompat parti beberapa kali bermula daripada PKR, kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kemudian menyertai PBM.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PBM yang pertama pada Oktober tahun lalu, Wei Shien mengangkat Zuraida sebagai ‘bakal Presiden’ parti.

Sehingga pada satu tahap, Wei Shien merasakan kepimpinannya tergugat ekoran tindakan Zuraida yang seringkali mencampuri hal ehwal parti, walhal beliau masih belum dilantik secara rasmi sebagai Presiden.

Wei Shien juga mendakwa masih presiden mengikut peraturan RoS.

Beliau kemudian mengisytiharkan mesyuarat majlis tertinggi yang meluluskan peralihan kuasa kepada Zuraida sebagai tidak sah dan menggantung keahlian bekas ahli parlimen Ampang itu dan 12 yang lain pada hujung Oktober tahun lalu.

Zuraida Kamaruddin dan 11 yang lain kemudian digugur dan dipecat pada 27 Disember tahun lalu kerana gagal mengemukakan maklum balas kepada Jawatankuasa Displin PBM dalam tempoh tujuh hari.

Pada PRU15 lalu, Wei Shien satu-satunya calon PBM yang memenangi kerusi Parlimen Julau dan menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya