Pakar Malaysia kerja luar negara kerana kerjaya, gaji lumayan

Pakar Malaysia kerja luar negara kerana kerjaya, gaji lumayan

Dr, Abd. Aziz Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluang meningkatkan kerjaya dan gaji lumayan antara faktor utama ribuan tenaga pakar Malaysia berhijrah ke luar negara.

Salah seorang daripada mereka ialah pensyarah dan saintis di Fakulti Perubatan Jabatan Perubatan Sains inovatif, Pusat Penyelidikan Sel Stem Kanser, Universiti Tokai, Kanagawa, Jepun, Dr. Abd. Aziz Ibrahim yang berkata, beliau memilih untuk bekerja di negara matahari terbit itu kerana mahu memperkembangkan kerjayanya.

Menurutnya, beliau mendapat dana daripada kerajaan Jepun untuk melakukan kajian sehingga dia membuat keputusan untuk terus berkhidmat di sana namun tetap tidak akan lupa kepada jasa baik kerajaan Malaysia kerana membantunya berada di negara itu.

“Saya mendalami dan mengkaji penggunaan sel stem darah tali pusat serta sel stem tulang sumsum untuk merawat pesakit leukemia selain ubat-ubat kemoterapi. Saya mendapat dana kajian daripada Kementerian Pendidikan Jepun (MEXT) dan Kementerian Kesihatan Jepun (MHLW) untuk melaksanakan kajian selain tugasan hakiki sebagai pensyarah.

“Saya berada di sini disebabkan faktor persekitaran dan dana kajian tersebut. Malah, peralatan, pendidikan serta rawatan kanak-kanak di Jepun membuatkan saya memilih untuk berkhidmat di sini sambil mengibarkan bendera Malaysia selaku anak Malaysia pertama keluarkan bukti saintifik kalamullah surah Al-’Alaq bahawa terdapat protein pembeku darah yang banyak dalam embrio (sel stem janin) dan sel stem darah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Malaysia bakal kehilangan lebih satu juta pakar dalam pelbagai bidang tenaga kerja dan siswazah ke negara-negara lain pada 2030 jika isu penghijrahan profesional (brain drain) tidak diatasi dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang.

Ini berdasarkan laporan Bank Dunia mengenai brain drain di Malaysia yang menunjukkan, jumlah warganegara berhijrah ke luar negara semakin meningkat dalam tempoh setiap 10 tahun, bermula dengan 99,306 individu pada 1990 meningkat kepada 164,884 individu pada 2000.

Mengulas mengenai perkara itu, Dr. Abd. Aziz berkata, faktor gaji yang rendah menyebabkan kebanyakan pakar terutama dalam sektor perubatan berhijrah ke luar negara.

“Faktor gaji di Malaysia yang masih rendah mungkin sedikit menyumbang kepada ramai berhijrah ke luar negara. Tetapi bagi saya, faktor kemudahan persekitaran dan dana kajian yang besar, kemudahan peralatan serta perolehan kemudahan alat membuatkan saya terus berkhidmat di Jepun.

“Sedih apabila mendengar keluhan rakan-rakan penyelidik di Malaysia, mahu tempah barang dan peralatan terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya,” katanya.
Tambahnya, Jepun kini giat merekrut pekerja-pekerja muda jadi tidak mustahil sekiranya graduan yang berada di universiti Jepun enggan pulang untuk bekerja di Malaysia.

“Jepun sebenarnya sedang mengalami kekurangan tenaga kerja muda,” ujarnya.

Sementara itu, seorang jurutera kanan yang enggan dikenali dan kini bekerja di Sheffield, England berkata, beliau memilih untuk bekerja di luar Malaysia disebabkan peluang kerjaya lebih besar di sana berbanding terus tinggal di dalam negara.

“Perkara pertama sudah pasti sebab kita mencari gaji lebih lumayan dan jika lihat industri jurutera di Malaysia sekiranya bekerja dalam 10 tahun, gajinya tidak tentu boleh sampai ke RM8,000 ke RM9,000.

“Saya dahulu mula bekerja pada 2004 di Malaysia, gaji saya RM1,800 dan sebelum terbang ke luar negara gaji asas saya RM6,000 dan sebaik sahaja bekerja di sini pendapatan saya peroleh meningkat ke RM20,000, ini merupakan gaji asas.

“Apabila saya bercakap dengan kawan-kawan jurutera di Malaysia, lepasan universiti hanya peroleh RM2,800 dan kalau kita tengok kadar kenaikan daripada 2004 hingga sekarang memang nampak sangat perlahan begitu juga saya lihat di sektor perubatan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia tidak menjaga pekerja profesional sehingga wujudnya peningkatan jumlah pekerja ekonomi gig dan itu menandakan negara sedang bergerak ke belakang.

“Untuk negara sedang membangun, apabila kita terlalu banyak industri gig yang boleh mendatangkan pendapatan lumayan berbanding pekerjaan profesional jadi itu membuat saya percaya negara akan ke belakang dari segi perkembangan ketamadunan. Tidak perlu ada ilmu pun untuk jadi jutawan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN