Op Selamat 19: 3 juta kenderaan dijangka masuk Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Op Selamat 19: 3 juta kenderaan dijangka masuk Pulau Pinang

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain ketika melancarkan program 'Walkabout & Advokasi Op Selamat 19' sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Taman Selamat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang menjangka kira-kira tiga juta kenderaan atau hampir 300,000 kenderaan sehari akan ‘membanjiri’ negeri itu sepanjang 10 hari Op Selamat 19 sempena perayaan Tahun Baharu Cina sehingga 27 Januari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sehubungan itu, semua pengguna jalan raya diharap lebih bersabar bagi mengelakkan sebarang kemalangan ketika berlakunya kesesakan.

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran operasi itu pula, seramai 125 pegawai dan anggota polis di negeri itu akan digerakkan untuk bertugas dengan dibantu oleh beberapa agensi penguatkuasaan lain.

“Kita juga telah mengenal pasti tujuh lokasi ‘hotspot’ kemalangan jalan raya atau kemalangan maut termasuk Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar di Seberang Perai Utara (SPU); Jalan Perusahaan Perai-Jalan Kulim di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Jalan Besar Simpang Empat di Kilometer 12 hingga Kilometer 32 di Seberang Perai Selatan (SPS).

“Turut dikenal pasti ialah Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu/Jalan Ayer Hitam dan Jalan Ayer Hitam-Paya Terubong di daerah Timur Laut serta Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Dr. Awang di Barat Daya,” katanya.

Beliau ditemui ketika melancarkan program ‘Walkabout & Advokasi Op Selamat 19’ sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Taman Selamat, di sini hari ini.

Antara enam kesalahan utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya berdasarkan statistik Op Selamat sebelum ini ialah memandu melebihi had laju yang dibenarkan, tidak mematuhi lampu isyarat dan memotong barisan.

Kesalahan lain ialah memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan serta menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily memberitahu, sempena Op Selamat kali ini juga, pihaknya memperkenalkan semula Op Payung yang memfokuskan kepada ‘omnipresence’ iaitu kehadiran pegawai dan anggota polis yang akan memberikan respon serta bantuan segera terhadap kemalangan yang berlaku di kawasan hitam atau ‘black spot’.

Katanya, lokasi Op Payung itu telah dikenal pasti di setiap daerah iaitu Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di Timur Laut; Jalan Teluk Air Tawar (SPU); Jalan Baru Perai (SPT); Jalan Bukit Tambun (SPS) dan Jalan Mayang Pasir di Barat Daya.

“Justeru, semua pengguna jalan raya dinasihatkan mengutamakan aspek keselamatan pemanduan dan mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya